BERGAYA DENGAN LUKISAN

BERGAYA DENGAN LUKISAN

Cara paling mudah dan selamat untuk menghias dinding ialah dengan menggantung lukisan. Dan lukisan yang menarik pasti menggamit tumpuan.

Pilih mana-mana bahagian atau sudut dinding yang mahu ditonjolkan dan kemudian gantung gambar pilihan atau mural di situ. Sama ada mahu mengetengahkan lukisan pemandangan yang berciri tradisional ataupun abstrak yang moden atau gabungan kedua-duanya, pastikan gambar berkenaan digantung dengan baik. Percaya atau tidak, menggantung lukisan juga memerlukan kemahiran dan perancangan teliti membabitkan pemilihan jenis gambar, atur letak, pelan dan ukuran dinding yang tepat, barulah gantungan lukisan nampak kemas dan menarik.

Jurureka Dalaman Jane Brown menegaskan, kehadiran lukisan sebagai unsur hiasan rumah ibarat buku yang tersusun kemas di atas rak dan jika mahu memastikan perhiasan dinding itu cantik perlu ada keberanian untuk memilih lukisan menarik. Percayalah kepada cita rasa sendiri sewaktu memilih dan pertimbangkan gaya ruang/bilik dengan lukisan yang hendak digantung. Pada masa sama, fikirkan ukuran, dimensi dan warna lukisan. Ingat, dengan hanya satu gantungan lukisan sudah mampu menaikkan seri ruang/bilik, jadi berhati-hatilah memilih lukisan yang paling sesuai dengan jiwa dan gaya rumah anda.

 

PEMILIHAN

Untuk memilih lukisan yang tepat, jangan sekali-kali gopoh. Jika tidak pasti lukisan mana yang harus dibeli, berdirilah di hadapan lukisan berkenaan dan perhatikan sama ada lukisan itu mampu berbicara dengan jiwa anda. Belilah lukisan yang berjaya menguasai perasaan anda agar mampu menccetuskan ilham dan daya tarikan buat selama-lamanya. Pastikan juga warna dan jenis lukisan yang sesuai dengan gaya ruang, di samping cuba mendalami maksud karya pelukis berkenaan. Jika hal ini tidak diambil kira pasti cita rasa anda mudah berubah serta-merta dan lukisan yang digantung itu tidak akan membawa erti lagi.

PELABURAN

Membeli lukisan adalah satu pelaburan. Harga yang anda beli hari ini untuk sebuah karya agung atau lukisan bermutu tidak akan sama keesokannya. Bahkan nilainya dikatakan menjadi semakin tinggi jika lagi lama disimpan. Kehadiran sesebuah lukisan juga perlu dilihat dari sudut berlainan dan bukan sebagai penghias dinding semata-mata. Keindahan hasil seni itu dapat dilihat dan dinikmati oleh mereka yang tahu menghargai. Dan jangan ingat lukisan yang elok hanya boleh didapati di gedung besar, sebaliknya banyak lukisan bermutu dan menarik dijual di kedai lelong pada harga berpatutan. Di galeri seni turut menawarkan hasil karya terpilih dan jika rajin ke sini anda mungkin boleh bertemu sendiri pelukisnya.

GANTUNGAN

Perkara penting yang perlu dielak sewaktu menggantung lukisan ialah menggantung lebih sebuah lukisan pada satu bahagian dinding atau ukuran lukisan terlalu besar sehingga memenuhi keseluruhan dinding. Sebaik-baiknya pilih satu lukisan paling menarik di mata anda dan gantung di bahagian dinding utama. Gantungan yang dianggap terbaik harus berada pada paras mata atau 1.5 meter dari tengah-tengah dinding ke lantai. Memilih lukisan yang besar juga mampu memberi kesan luas pada ruang dan gantungkan di dinding belakang set sofa. Jika gemar menggantung lukisan secara berkumpulan, pastikan himpunan itu mempunyai tema tertentu dan elak menggantung terlalu banyak lukisan sehingga dinding nampak sarat dan menyemakkan.

BINGKAI

Pilih bingkai yang sesuai dengan mutu, warna dan tema/konsep lukisan. Tujuan lukisan dibingkaikan adalah untuk menambah baik dan memelihara mutunya, di samping menyerlahkan lagi kehadiran karya seni itu. Kenal pasti jenis bingkai paling sesuai untuk sesebuah lukisan, dengan memilih dari segi reka bentuk dan warna. Pelapik kaca yang dating bersekali bingkai bertujuan melindungi lukisan daripada lusuh ditelan zaman, terutama lukisan cat air.

 

 

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *