16 Kecacatan Lantai

Lantai sangat penting dalam struktur sesebuah bangunan. Di samping memberi kemudahan ruang kerja, lantai juga menjadi bahan pengasing di antara aras bawah tanah dengan kawasan kerja. Secara umum, lantai terbahagi kepada tiga jenis dan setiap satu mempunyai ciri serta sifat tersendiri, sama ada dari segi kaedah pembinaan, kekuatan dan fungsi. Jenis lantai yang dimaksudkan ialah :

  1. Lantai bawah (ground floor)
  2. Lantai tergantung (suspended floor)
  3. Lantai bawah tanah (basement floor)

Bahan binaan lantai boleh diperbuat daripada konkrit tetulang dan kayu, dua bahan yang selalu digunakan di negara ini. Lantai buluh juga sering digunakan di kampung dan rumah lama.

Perbincangan mengenai kerosakan lantai dalam keluaran ini bagaimanapun dikhususkan untuk lantai rumah satu atau dua tingkat sahaja dan tidak kepada lantai bangunan tinggi.

Sebelum saya senaraikan kecacatan yang sering dihadapi, wajar diketahui secara kasar fungsi umum lantai, antaranya sebagai :

  • Pengikat dan memberi kestabilan kepada kepada tiang dan rusuk rumah.
  • Struktur kestabilan untuk membawa beban dan sebarang tekanan luar, misalnya angin.
  • Penebat haba dan mengawal kenaikan lembapan.
  • Sokongan dan memberi kawasan kepada perabot dan kegiatan penghuni.
  • Sekatan antara ruang (bagi rumah bertingkat).
  • Ikatan asas untuk siling alat saluran kelengkapan, umpamanya lampu dan telefon.
  • Asas untuk pemasangan kemasan lantai.

Lantai yang baik akan memberi ciri berikut kepada sesebuah rumah :

  • Nilai estatik dari segi warna dan keseluruhan rupa.
  • Mudah dibersih dan diselenggara.
  • Memberi suasana nyaman dan tenang.
  • Mampu diganti.
  • Tahan lasak untuk kegunaan harian dan tidak mudah haus.
  • Dapat menebat bunyi bising.
  • Mempunyai permukaan tidak licin dan berbahaya kepada golongan berumur dan kanak-kanak.

Lantai bawah (konkrit/kayu)

Sesuai dan ekonomi dibina di kawasan rata serta tidak tidak cerun. Ketebalan konkrit padu antara 125 milimeter hingga 150 milimeter (50 milimeter hingga 100 milimeter tebal konkrit dan 25 milimeter cement screed). Di kawasan cerun yang melebihi 600 milieter, pengisian bahan pasir atau tanah untuk mendapat paras rata tidak tidak berekonomi adalah lebih baik dan murah serta stabil sekiranya lantai dibina menggunakan kaedah gantung.

Kelemahan utama bagi lantai jenis ini ialah sering terdedah kepada pemendepan yang berpunca daripada kerja pengukuhan tanah yang tidak rapi. Tanda paling mudah untuk mengetahui berlakunya pemendapan ialah wujud ruang antara kambi dengan paras lantai manakala pemendapan tidak rata akan membuat permukaan lantai pecah, merekah dan akhirnya gagal. Kepadatan lapisan bahan tambak amat penting untuk lantai jenis ini.

Lantai ini juga akan mengalami kelebapan dan berwap serta berair jika terlalu nipis atau kecacatan berlaku kepada lapisan kalis lembap. Sekiranya mana-mana bahagian lantai yang dilitupi kemasan permaidani atau vinil, anda hendaklah berjaga-jaga kerana kemungkinan besar lantai berkenaan reput-basah akibat kelembapan.

Lantai di kawasan bilik mandi dan ruang dapur hendaklah mempunyai anduhan kea rah lubang keluar air. Sering terdapat takungan air di ruang berkenaan kerana kecuaian pembinaan dan akhirnya menjadi salah satu punca reput basah pada unsur rumah. Untuk menguji kecerunannya, guna sebiji guli dan sekiranya guli bergerak ke arah lubang air, ia menandakan kecerunan lantai berkenaan adalah baik. Kaedah paling tepat ialah menggunakan pengaras spirit yang boleh dibeli di semua kedai perkakasan.

Sekiranya tempat letak kereta sebumbung dengan rumah induk, pastikan lantai utama rumah induk berada sekurang-kurangnya 150 milimeter lebih tinggi daripada paras lantai tempat letak kereta. Pastikan kecerunannya keluar ke arah pintu masuk utama supaya air dapat dialirkan ke luar sewaktu hujan atau ketika melakukan kerja pencucian.

Lantai tergantung

Daripada namanya pun dapat difahami bahawa kedudukan lantai ini tidak sama dengan aras tanah. Ia dibina tinggi daripada paras tanah seperti terdapat di rumah kampung dan disokong oleh tiang asas yang tingginya berukuran di antara 800 milimeter hingga 3000 milimeter.

Peredaran udara secara silang di bawah melalui lantai berkenaan , dapat menyejukkan keadaan dalaman rumah. Bayu angin pula mempercepatkan proses pengeringan bagi tempat yang lembap dan basah.

Kecacatan lantai

Penelitian terhadap punca dan belanja untuk membaiki seharusya diketahui di peringkat awal lagi supaya dapat memberi anggaran kasar kemampuan perbelanjaan anda. Keretakan halus di permukaan lantai menjadi punca kecacatan yang lebih serius sekiranya tidak dibaiki segera. Ia mungkin kelihatan cantik di permukaan, tetapi  reput dan rapuh di dalam.

Berikut senarai 16 kecacatan lantai yang sering berlaku :

  1. Pemendapan – akibat lapisan tanah/bahan tambak yang kurang kukuh dan tidak padat.
  2. Rekahan – akibat bahan tambak mengandungi bahan kimia aktif.
  3. Pemendapan – akibat saluran parit dan paip lama bocor serta masih mengeluarkan air sehingga menyebabkan berlaku hakisan di bawah tanah.
  4. Kelembapan naik ke atas dari bawah tanah, menyebabkan kayu lantai reput dan lembap.
  5. Serangan anai-anai dalam rumah.
  6. Serangan kumbang dan serangga perosak.
  7. Getaran atau gegaran – berpunca daripada lalu lintas di bangunan berhampiran jalan raya. Keadaan ini memberi kesan kepada unsur struktur yang lain.
  8. Papan lantai daripada bahan kayu melengkung.
  9. Pengikat seperti paku dan skru tercabut serta berkarat.
  10. Papan lantai terasa mampung apabila berjalan di atasnya.
  11. Sokongan atau gelegar lantai kayu agak jauh dan tidak mengikut spesifikasi yang ditentukan.
  12. Wujud ruang di lapisan papan lantai dan hujungnya merekah serta melentur.
  13. Kelembapan di permukaan lantai konkrit dan sentiasa berpeluh.
  14. Papan dan kemasan lantai di sekitar sink ruang dapur, reput dan lembap.
  15. Jubin lantai terkopek dan tertanggal, begitu juga karpet.
  16. Pengedaran udara secara menyilang tersekat oleh barang simpanan bawah bawah rumah yang berlantai gantung.

Sekiranya terdapat rumah atau bangunan lain berhampiran rumah utama seperti tempat simpan kereta, stor dan rumah pembantu, maka penyelidikan terperinci mesti dilakukan sebagaimana menyelidiki sebuah rumah. Lantai bangunan tambahan yang didapati rosak akibat serang anai-anai kemungkinan besar akan merebak ke struktur dan unsur rumah induk.

 

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *