MEMENUHI KEMAJUAN ANAK BERUSIA 9-12 TAHUN

Dari kecil sehingga enam tahun, penekanan terhadap reka bentuk ruang dalaman ( interior design )adalah berasaskan kemajuan pergerakan, kesihatan serta deria mereka seperti mana saya bincangkan dalam keluaran lepas. Namun apabila anak makin membesar, keperluan dan kegiatan mereka turut berubah. Dalam keluaran ini saya menyentuh keperluan untuk anak berusia 9 hingga 12 tahun.

Memasuki umur tahun bermakna bermulalah penekanan terhadap bidang akademik. Pakar sains menegaskan inilah masanya seorang individu maju dalam pemikiran akal logic. Apabila memasuki usia 9 tahun, kemajuan pemikiran akan meningkat dan akal logic bergabung dengan akal kreatif

Kegiatan dan cara mereka bermain juga berubah. Penyediaan ruang di rumah sepatutnya bukan sahaja untuk kegiatan harian, tetapi juga untuk anak belajar dan membuat kerja rumah, selain menumpukan perhatian kepada kerja sampingan seperti berlatih bermain muzik, mengaji dan tuisyen (jika memanggil guru tuisyen ke rumah).

Penyediaan persekitaran yang baik dan menyokong kegiatan anak akan memupuk tabiat seperti mana dikehendaki ibu bapa.

Di sinilah perancangan penyediaan ruang harus cerdik supaya anak dapat dipupuk menjadi rajin, pandai, berdikari dan bertanggungjawab. Nilai-nilai murni hendaklah dipupuk dari rumah kerana rumah adalah persekitaran pertama dan paling mempengaruhi dalam kehidupan individu.

Penyediaan ruang yang bersesuaian hendaklah merangkumi semua ruang diguna anak-anak. Biasanya bilik tidur dan tempat belajar adalah paling utama walaupun ada ibu bapa yang turut memberi perhatian kepada ruang dalaman lain.

Ibu bapa hendaklah peka terhadap perkembangan psikologi anak dengan memberikan keyakinan diri dan menghormati dirinya sendiri. Beri penilaian kepada perwatakan anak supaya dia membesar menjadi manusia yang baik. Berikan juga penilaian terhadap kesukaan dan ketidaksukaan anak bagi menghasilkan individu yang berkeyakinan.

 

Bilik Tidur

Ruang tidur memang selalu diberi keutamaan. Pastikannya selesa bagi kegiatan tidur dan istirahat, selain memperoleh pengudaraan yang nyaman. Menyimpan pakaian adalah kegiatan kedua yang perlu disediakan. Pastikan ukuran perabot boleh diguna dalam jangka masa sekurang-kurangnya dari umur 7 hingga 11 atau 12 tahun. Katil hendaklah kukuh dan tilam dalam keadaan baik untuk keselesaan serta kesihatan anak. Bagi almari pakaian, pastikan kedudukan rak dan tempat menyangkut baju mudah dicapai anak. Setiap perancangan mestilah mengambil kira pembesaran dan kemajuan kematangan anak.

Di bilik tidur juga anak mahu permainannya ada bersama. Ibu bapa hendaklah menentukan jumlah permainan yang boleh disimpan di bilik tidur dan jangan lupa menyediakan tempat penyimpanannya.

Pada masa yang sama didik mereka mengenai keperluan mengemas bilik sendiri. Oleh itu, tempat menyimpan pakaian dan permainan hendaklah mudah bagi mereka mengatur, mengemas dan menjaganya. Terangkan kepada anak yang mereka adalah empunya bilik dan barangan di dalamnya ke arah mendidik mereka menjadi lebih bertanggungjawab menjaga hak milik sendiri. Bagaimanapun didikan itu hendaklah dimulakan secara bersama dahulu, iaitu ibu bapa menunjukkan caranya dan dilakukan bersama anak. Pertuturan selalunya kurang berkesan kerana mereka lebih menganggapnya sebagai leteran, selain kurang memahami. Pendek kata, anak meniru apa yang disaksikannya.

 

Ruang Belajar

Sesetengah ibu bapa menyediakan tempat belajar di dalam bilik tidur anak, tetapi ada juga yang mengasingkannya supaya anak memperoleh lebih rehat dan sihat di bilik tidur. Apa-apa pun, pastikan meja dan kerusi yang disediakan bersesuaian dari segi ketinggian supaya anak berasa selamat dan sihat apabila menggunakannya. Yang penting, tiada bucu tajam sehingga boleh membahayakan keselamatan anak.

Sediakan sistem penyimpanan barangan sekolah dan buku yang mudah. Misalnya, buku sekolah disimpan dalam rak yang berasingan daripada buku cerita atau rujukan, begitu juga alat tulis dan alat seni lukis diberikan tempat khas di dalam laci. Dengan ini ruang dalaman menjadi lebih kemas dan anak tentunya puas hati yang dia boleh bertanggungjawab menjaga keperluan sekolahnya dengan baik.

Cara menyediakan ruang penyimpanan terpulang kepada daya kreatif ibu bapa. Almari, rak dan berbagai-bagai rupa tempat penyimpanan banyak terdapat di pasaran, tetapi untuk menjimatkan belanja, ibu bapa boleh bekerjasama dengan anak membuat kotak simpanan menggunakan bahan kitar semula. Cara ini bukan sahaja menyeronokkan, bahkan berkesan dalam mendidik anak sentiasa berusaha dan kreatif.

 

Kepercayaan

Adakalanya orang dewasa tidak begitu yakin dengan keputusan yang dibuat oleh anak dan tidak sabar menunjuk ajar mereka. Menanya pendapat anak boleh membuatkan mereka berfikir dan meningkatkan daya kreatif serta bertanggungjawab. Ibu bapa perlu mendengar dengan baik dan berbincang dengan sabar sambil menjelaskan faktor-faktor yang dianggap penting.

Mungkin ada keputusan anak yang tidak dipersetujui ibu bapa, namun mereka tetap memerlukan sokongan daripada ibu bapa apabila hendak membeli barang untuk keperluan di biliknya. Oleh itu, berbincanglah dengan baik dan dalam bahasa yang mudah difahami anak ke arah memupuk nilai murni serta memajukan kebolehan berfikir secara praktikal dan logik.

 

Warna

Berikan peluang kepada anak memilih warna yang disukai untuk bilik mereka dan jika warna itu didapati tidak sesuai maka jelaskan sebabnya secara baik dan difahami. Anak akan menghargai ibu bapa yang mementingkan perasaan dan pendapat mereka. Ini secara langsung menggalakkan anak memberi buah fikiran dan bertanggungjawab di atas pemilihannya.

Begitu juga sewaktu membeli cadar atau kemasan bilik yang lain, berikan peluang kepada anak untuk membuat pilihan. Berbincang dengan baik supaya anak itu sendiri boleh mempertimbangkan apa yang sesuai. Misalnya, terangkan mengapa corak yang besar tidak sesuai digunakan. Dengan ini, anak juga akan lebih berpengetahuan.

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *