CIPTA KELAINAN DENGAN SONGKET WARISAN ZAMAN

CIPTA KELAINAN DENGAN SONGKET WARISAN ZAMAN

Bayangkan betapa indahnya sofa dikemaskan dengan songket atau kusyen hiasan bersarung songket ataupun alas meja daripada songket. Setidak-tidak pun sekeping songket berbingkai indah digantung pada dinding membentuk titik tumpuan, pasti menjadi tajuk perbualan.

Songket berasal daripada perkataan sungkit, iaitu teknik menyungkit atau menyulam menggunakan benang emas. Pada zaman silam, motif dan warna tenunan melambangkan kedudukan seseorang seperti songket benang sutera halus dan benang emas dipakai oleh kerabat diraja serta golongan bangsawan.

Kini, keanggunan songket memberi ilham kepada Yayasan Tuanku Nur Zahirah untuk menampilkan pelbagai barangan di bawah nama Royal Terengganu Songket. Usaha ini secara tidak langsung memberi pendapatan kepada penenun luar bandar seiring hasrat memelihara budaya lama. Selain menampilkan motif alam semula jadi, Royal Terengganu Songket juga menawarkan corak semasa dan geometri yang membolehkan hasilan songket berkenaan dipadankan dengan sebarang gaya kediaman.

 

Elak 5 perkara agar kain songket tahan lama

  1. Elakkan melipat kain songket benang emas atau logam sewaktu menyimpan, sebaliknya hendaklah digulung.
  2. Elakkan memegang kain songket dengan tangan kotor.
  3. Elak kain songket daripada dihimpit atau dihempap oleh fabrik lain.
  4. Elak kain songket daripada dijemur di bawah cahaya matahari terik dan perlu dibersihkan secara minimum. Sebaik-baiknya dihantar ke kedai dobi untuk cucian kering.
  5. Elak menggosok kain songket benang emas kerana ini boleh menjejaskan mutu tenunan.

  

KEINDAHAN SARUNG KUSYEN HIASAN

Sofa yang elok tidak perlu diganti, sebaliknya memadai menukar sarung kusyen hiasan sahaja untuk tampil segar dan baru pada Syawal yang menanti.

Paling penting mesti pandai memilih fabrik bersesuaian. Ini boleh dilakukan menerusi langkah berikut:

  • Selidik bahan buatan. Seelok-eloknya pilih yang berciri kalis kotor, anti-gegat dan sebagainya. Pendek kata, pilih fabrik jenis tahan lasak.
  • Pastikan tekstur fabrik tidak mengganggu kesihatan anda sekeluarga kerana sesetengah fabrik boleh menyebabkan gatal, ruam dan mudah memerangkap habuk sekali gus menimbulkan ketidakselesaan.
  • Fabrik polos lebih sesuai untuk kediaman moden manakala mereka yang meminati gaya kedesaan Inggeris boleh memilih fabrik corak mawar. Warna semula jadi seperti biru serta hijau pula sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan dan corak jalur mendatar serta menegak mampu menceriakan ruang. Kain Pua juga sesuai dijadikan sarung kusyen hiasan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *