Gaya Di Meja Untuk rumah Terbuka

GAYA DI MEJA UNTUK RUMAH TERBUKA

Menganjurkan rumah terbuka sudah menjadi amalan dalam meraikan apa juga perayaan di negara ini termasuklah Aidilfitri. Dan bagi mereka yang pernah mengadakannya pasti bersetuju bahawa persiapan untuk majlis itu tidak semudah disangka.

Bagi yang tinggal di rumah berhalaman luas, sebahagian ruang letak kereta lazimnya menjadi lokasi sasaran untuk meletakkan meja hidangan, lebih-lebih lagi jika beberapa sudut taman dilengkapi binaan pergola atau gazebo. Begitu pun ramai juga yang lebih selesa mengadakan majlis di dalam rumah kerana tidak perlu bimbang jika cuaca cerah tiba-tiba hujan.

Namun bagi yang mendiami rumah berkeluasan terhad maka sudah tentulah ruang tamu dan ruang makan terpaksa ‘dikorbankan’ sebagai tempat meletak hidangan. Oleh itu, perabot dan perhiasan yang ada di situ perlu disusun rapat ke dinding atau dipindahkan ke tempat lain supaya lapang dan selesa untuk pergerakan tetamu.

 

Panduan berikut diharapkan boleh membantu anda menetapkan gaya meja hidangan :

  • Bukan sahaja hiasan dalaman mempunyai tema, menu hidangan rumah terbuka pun sebaik-baiknya hendaklah dibuat mengikut tema supaya makanan yang dihidangkan tidak serupa saban tahun. Misalnya, hidangan tradisional tahun ini dan tahun depan pula bertemakan fusion.
  • Jika banyak juadah disediakan maka sebaik-baiknya guna meja makan panjang. Manfaatkan meja kopi untuk meletakkan balang biskut dan meja sisi untuk menempatkan jag serta gelas.
  • Rapatkan meja makan ke dinding jika ruang tamu atau ruang makan berkeluasan terhad. Bagaimanapun, jika memiliki ruang tamu dan ruang makan yang luas maka meja hidangan bolehlah diletakkan di tengah-tengah, begitu juga kalau anda menggunakan meja makan bulat.
  • Gunakan peralatan hidang yang betul untuk lauk-pauk yang bersesuaian, misalnya bekas porselin/seramik bersekali pemanas untuk hidangan berkuah supaya sentiasa hangat dan menyelerakan.
  • Serikan setiap hidangan dengan ukiran sayur atau lada merah segar yang dibelah bentuk bunga. Ketengahkan satu daripada juadah istimewa sebagai titik tumpu dengan meletakkannya di tempat tinggi, kemudian baru diikuti juadah lain. Dengan adanya susun atur tinggi-rendah maka makanan yang dihidangkan tidaklah nampak hambar.
  • Selain jambangan bunga segar atau bakul berisi buah-buahan sebagai perhiasan meja, juga boleh dihias dengan kad hari raya yang dikitarkan semula dan sarung ketupat.
  • Jangan lupa menyediakan tempat khusus untuk meletak pinggan makan,piring kuih dan pencuci mulut, gelas, sudu, garpu serta kertas tisu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *