BILIK TIDUR REMAJA (DINAMIK, MENCABAR & BERTENAGA)

BILIK TIDUR REMAJA (DINAMIK, MENCABAR & BERTENAGA)

Peringkat remaja adalah tahap yang sungguh mencabar. Ciri individu dan identiti menjadi isu utama. Memberi peluang anak membesar dengan membentuk watak serta peribadi yang baik dan yakin diri adalah penting. Ibu bapa perlu peka dengan perkembangan dan perasaan anak supaya kemajuan mereka tidak terganggu. Komunikasi antara anak dan ibu bapa sangat penting. Galakkan anak berbincang dengan baik dan bersopan supaya kepercayaan kedua-dua pihak dapat dipupuk – anak remaja percayakan ibu bapa dan ibu bapa percayakan anak remaja mereka.

Berikan anak membuat pilihan yang bertanggungjawab dengan menjelaskan tujuan selamat, sihat, sikap dan akhlak baik serta masa depan cerah adalah matlamat utama kemajuan. Anak-anak yang merasa dirinya tidak dinilai serta pendapat dan perasaannya diperkecil akan menganggap ibu bapanya tidak memahami masalah mereka kerana tidak cuba meletakkan diri mereka dalam masalah berkenaan. Strategi serupa boleh dididik kepada anak supaya mereka juga memahami pandangan dan kerisauan ibu bapa.

 

Reka bentuk dalaman

Perubahan peringkat umur yang berlainan menjadikan reka bentuk dalaman bilik tidur remaja sungguh dinamik, bertenaga dan mencabar. Mereka memerlukan ruang untuk meluahkan perasaan, tetapi ibu bapa masih perlu berbincang keperluan mereka dari sudut logistik, perbelanjaan dan praktikal.

PERBELANJAAN – mungkin impian anak terlalu mahal maka hendaklah dicari jalan melaksanakannya secara lebih murah bersandarkan daya kreativiti.

LOGISTIK – jika perlu berkongsi bilik dengan adik maka perbincangan lanjut hendaklah dibuat. Kenal pasti jangka panjang apabila anak remaja menjadi belia dan menyambung pelajaran ke kolej.

PRAKTIKAL – kefahaman ukuran dan perancangan dalam bilik adalah penting supaya ruang dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya anak memilih perabot terlalu besar untuk ruang kecil maka hendaklah dijelaskan masalahnya dan pertimbangkan perabot lain yang muat untuk dimasukkan ke dalam bilik.

Fungsi

Kenal pasti kegiatan di dalam bilik. Anak remaja memerlukan ruang tidur, ruang belajar, tempat menyalin dan menyimpan pakaian tempat menyimpan barangan lain seperti perhiasan, buku dan beg. Sebagai langkah menjimatkan ruang, dinding boleh diguna untuk menggantung rak yang berfungsi sebagai tempat menyimpan barangan, termasuk buku. Bahhkan jika siling mempunya struktur yang kukuh, bolehlah digunakan untuk menyangkut tempat penyimpanan dari siling dan ini akan melapangkan ruang lantai.

Nilai estetika

Perasaan remaja selalunya diluahkan melalui cara menghias bilik. Pendek kata, bilik menjadi tempat luahan identiti dan watak. Walaupun remaja mahukan kebebasan menghias, selalunya mereka juga mendengar nasihat yang wajar daripada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa hendaklah peka dengan keperluan dan kesukaan anak remaja.

Faktor utama yang perlu dipertimbangkan sewaktu mereka bentuk

KENAL PASTI GAYA mengikut kesukaan remaja. Ada banyak pilihan, daripada ‘terlalu moden’ hinggalah kepada terlalu ‘fairytale’. Bahan kelengkapan juga mendadi unsur utama, sama ada kayu atau logam. Remaja selalunya ada ilham tersendiri mengikut aliran semasa dan lebih praktikal.

RANCANG cara mengatur kelengkapan. Sesuaikan fungsi dan kedudukan perabot mengikut keluasan serta ketinggian bilik. Yang penting mesti selesa untuk sebarang kegiatan di dalam bilik.

BERI PERTIMBANGAN kepada suasana yang dihasilkan. Perasaan gembira setiap kali berada di dalam bilik sangat mustahak kerana anak memerlukan fikiran yang tenteram untuk belajar. Ini bergantung kepada banyak perkara, antaranya warna, corak dan tekstur serta kedudukan perabot. Pastikan susasana yang diwujudkan dapat memberi keceriaan dan semangat kepada remaja untuk melakukan kerjanya.

KEKEMASAN perlu ditimbangkan dari awal supaya bilik senang dijaga oleh remaja sendiri. Sediakan rak, laci dan sebagainya mengikut kegemaran serta kegiatan mereka. Boleh juga dirancang supaya ada bahagian ruang yang rapi dan sebahagian lagi dibenarkan kurang rapi. Selalunya ruang yang rapi ini jelas dilihat tatkala membuka pintu bilik. Di ruang yang kurang kemas boleh disediakan tempat khas di satu sudut untuk meletakkan barang tanpa perlu menyusun. Dengan cara ini, kawasan yang semak itu dirancang supaya menjadi sebahagian reka bentuk dalaman bilik. Jika dibuat dengan betul, ruang kurang kemas ini boleh memberi suasana yang lebih ‘hidup’. Pakaian bersih hendaklah disimpan di dalam almari atau laci manakala pakaian sudah dipakai, tetapi belum dibasuh boleh digantung sahaja. Barangan lain seperti beg, beg tangan dan tali pinggang juga boleh disangkut di ruang dinding dengan  menyediakan tempat penyangkut bersesuaian.

WARNA adalah faktor yang selalu dipertimbangkan. Biar anak memilih warnanya sendiri. Dengan gabungan warna yang sesuai boleh mewujudkan berbagai-bagai suasana. Sekiranya warna dipilih terlalu garang maka gunalah sedikit sahaja dan digabungkan dengan warna lain supaya bilik lebih ceria.

KETELITIAN memilih perhiasan dan kemasan seperti langsir, cadar serta lampu mampu menimbulkan ragam suasana yang dikehendaki.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *