Panduan Memilih Perabot

memilih perabot

Pemilihan perabot memberi kesan penting dalam mempengaruhi karakter dan estetika sesuatu reka bentuk dalaman bilik, rumah atau bangunan. Jenis dan reka bentuk perabot yang dipilih menonjolkan personality pemiliknya. Ada perabot dihargai kerana nilai sentimentalnya dan ada juga yang dinilai kerana harga atau sebab lain. Perabot antic dan perabot ilham pereka bentuk misalnya disukai kerana nilainya yang tersendiri.

Jurureka akan memilih perabot berdasarkan beberapa faktor antaranya kesesuaian fungsi, cara pembuatan, bahan dan mutu. Satu lagi faktor iaitu pertimbangan estetika, sukar untuk ditafsirkan kerana bergantung kepada pandangan seseorang.

Secara amnya, pemilihan perabot perlu merangkumi semua faktor utama di atas, ada kala proses pemilihan bermula dengan salah satu daripada sebab itu.

Pemilik rumah biasanya mengambil kira perbelanjaan yang berkesan dan bernilai bijak. Agihan belanja pula harus melihat pada perkara-perkara lain yang diperlukan oleh sesebuah bilik atau rumah. Jika tidak ingin membazir, pilihlah perabot yang memuaskan hati sendiri dan tahan untuk jangka masa tertentu. Ada yang berpuas hati sekiranya perabot pilihan itu kekal disukai selama tujuh tahun, 10 tahun dan sebagainya. Ada yang tidak menghiraukan berapa lama perabot itu akan disukai kerana cita rasanya bertukar bila-bila masa dan sanggup mengeluarkan wang untuk mengganti perabot baru.

Membuat keputusan mengenai pemilihan perabot, jangan tergopoh-gopoh. Fikirkan secara teliti mengenai ciri yang diperlukan. Setiap rumah mempunyai cita rasa yang tersendiri. Pertimbangkan kesesuaian kehendak, cita rasa dengan kemampuan perbelanjaan. Fikirkan jenis perabot yang diperlukan, misalnya sama ada anda memerlukan gabungan perabot yang dibeli siap atau jenis siap dipasang.

Pertimbangan mengenai reka bentuk pula boleh dibuat sekali gus, sama ada anda berkenan atau sebaliknya dengan potongan perabot berkenaan.

Anda boleh sediakan perabot asas yang penting untuk kegunaan seharian terlebih dahulu sebelum membeli yang lain. Ada juga memilih perabot siap dipasang dahulu sebelum membeli perabot jenis berasingan. Tidak kurang juga ada yang membeli secara berperingkat-peringkat, mengikut kepentingan ruang atau bilik.

Apa-apa pun strategi yang dipilih, tuan rumah hendaklah sentiasa mengambil kira cita rasa dan kehendak yang diimpikan. Kesinambungan reka bentuk dari segi gaya, bahan dan warna penting untuk dipertimbangkan supaya sesuatu reka bentuk pilihan mempunyai pakej yang bersesuaian. Di samping itu, fungsi, kekukuhan dan tahap penjagaan juga perlu diambil kira.

Ada kalanya pereka bentuk akan memasukkan nilai-nilai tambahan dalam pemilihan perabot, misalnya keunikan dan pertentangan dengan gaya serta tema ruang atau dari segi bahan yang diguna.

Ada kalanya, perabot ilham pereka ternama dipilih untuk menonjolkan gaya tertentu atau mewujudkan tumpuan. Sekiranya pemilihan berdasarkan nama pereka, perabot berkenaan mungkin menjadi fokus atau bahan perbualan.

Perabot yang mempunyai nilai sentimental hendaklah diberi kedudukan yang sesuai. Terpulang kepada pemilik sama ada hendak menonjolkannya atau tidak menurut nilai sentimental perabot itu. Kesesuaian terhadap reka bentuk keseluruhan perlulah dipertimbangkan supaya gaya ruang tidak terjejas.

Sekiranya memilih perabot antik, kedudukannya juga hendaklah bersesuaian dan nilainya dapat dihayati oleh tetamu dan pengguna. Seandainya perabot antik itu mempunyai nilai sentimental atau sejarah keturunan maka akan lebih bermaknalah perabot berkenaan di situ.

Kesimpulannya, nilai reka bentuk perabot akan menonjol apabila semua aspek fungsi, gaya, warna, bahan dan perbelanjaan memberi keselesaan kepada penggunaan, manakala nilai estetikanya memuaskan hati anda sebagai tuan rumah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *