LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEWUJUDKAN SUASANA TENANG DAN ROMANTIK DI BILIK TIDUR

1) Seelok-eloknya bilik berada pada kedudukan yang jauh daripada kesibukan jalan raya dan kebisingan ruang tamu serta ruang menonton, apatah lagi bau-bauan dari ruang dapur. Jika tidak mampu lari daripada keadaan itu, pasang langsir tebal, dinding kalis bunyi atau hamparan tebal untuk mengurangkan bunyi.

2) Hias bilik mengikut citarasa masing-masing, bukan mengikut gaya jiran atau sanak saudara. Ini kerana bilik tidur adalah ruang peribadi. Sesetengah orang suka yang ringkas dan praktikal namun ada juga memilih gaya mewah, klasik atau berunsur alam fantasi. Yang penting, bilik itu harus memberi keselesaan dan keseronokan kepada anda untuk memperbaharui dan mengukuhkan hubungan. Bilik tidur bukan saja tempat menjalin kasih saying, bahkan ruang untuk anda memanjakan diri dengan pasangan. Justeru itu hias katil dengan kusyen beragam warna dan bentuk, diiringi kerusi rendah yang empuk dan selesa. Di sini anda boleh bersantai membaca buku dan majalah, menulis warkah cinta malah membuat rawatan ringkas kuku tangan dan kaki. Hamparan ambal gebu berdekatan katil memberi kesan hangat dipijak dan berahi apabila disentuh, begitu juga hidangan coklat dan manisan di atas meja sisi katil menimbulkan perasaan bergelora.

3) Bilik perlu selesa dan lapang walaupun kecil. Ini membantu anda berasa tenang dan seronok dalam perhubungan serta kehidupan. Dua peraturan asas untuk bilik tidur ialah melengkapkannya dengan perabot minimum dan jenis perabot harus kena dengan susunan dan gaya.

4) Jadikan katil sebagai titik tumpu, tidak kiralah sama ada anda memilih katil bentuk ringkas atau mewah. Dengan itu, perabot lain hendaklah dikurangkan supaya mudah bergerak dan mengelak terlanggar sesuatu. Penyediaan meja sisi, kabinet dan para-para dapat menyelesaikan masalah bilik sarat. Lampu dinding pula dapat mengurangkan perhiasan di atas meja sisi. Mengikut feng shui, bilik yang baik adalah yang kurang kelengkapan dan tiada halangan. Ini baik untuk kesihatan dan keharmonian dalam kehidupan serta perhubungan.

5) Sejak dulu lagi kita memilih untuk tidur di tempat tertutup dan tinggi supaya terasa dilindungi. Sebab itu ramai lebih selesa tidur di atas katil dan mrnghadap pintu. Kepercayaan feng shui mencadangkan supaya katil diletak di tengah-tengah bilik atau pada kedudukan yang boleh nampak pintu. Jangan sekali-kali meletak katil menghadap pintu terbuka atau membelakangkannya.

6) Selain katil, almari pakaian juga wajib ada di dalam bilik tidur. Salah satu rahsia kepada kehidupan yang harmoni dan ketenangan ialah mempunyai tempat penyimpanan pakaian yang baik supaya anda mudah mencari dan memilih pakaian serta mengurangkan tekanan. Almari pakaian yang direka dengan baik adalah penyelesaian paling ideal. Pembinaan ruang persalinan adalah keputusan paling tepat jika bilik anda besar. Bagi bilik kecil, beli sahaja almari pakaian yang ada di pasaran serta pilih yang bersesuaian dengan keluasan ruang dan keperluan anda. Bagaimanapun, jika ada bilik kosong bersebelahan yang tidak diguna maka anda menjadikannya bilik persalinan yang juga boleh berfungsi sebagai bilik tetamu.

7) Wujudkan sudut khusus, mungkin di hujung bilik tidur atau berdekatan tingkap untuk anda dan pasangan berbual mesra. Di sudut itu boleh diletakkan chaise lounge yang sesuai.

8) Warna dalam bilik tidur mencerminkan pandangan anda terhadap kehidupan dan cinta. Warna juga boleh mewujudkan suasana yang berkesan dalam perhubungan. Oleh itu, pilih warna yang tepat. Jadikan warna lembut dan sejuk sebagai cirri utama manakala penggunaan fabrik semulajadi seperti sutera, kapas dan linen bagus untuk pengudaraan. Warna sejuk seperti hijau muda, biru langit dan merah jambu keungguan pula memberi kesan tenang dan warna terang boleh menaikkan semangat serta berunsur ceria. Warna-warna yang hangat dan pekat menjadikan bilik lebih redup dan romantik, tetapi elak warna gelap kerana boleh membuatkan anda berasa tertekan. Warna neutral adalah selamat, tetapi elak putih sepenuhnya yang mewujudkan suasana kaku sebaliknya pilih putih krim yang lebih lembut. Jangan lupa juga meletakkan wangi-wangian yang berupaya membangkitkan nafsu untuk berasmara.

9) Lampu hiasan mampu mencipta suasana romantik. Mentol berwarna berupaya memberikan remang cahaya lembut. Diakui bahawa lampu bercahaya terang membantu anda lebih fokus terhadap kerja, begitupun jika anda mahu membina suasan intim dan romantik, pilihlah lampu bercahaya redup. Bahkan, lilin beraroma bertemankan rampaian wangian juga membantu mendapatkan ragam suasana yang diingini. Aroma semulajadi dipercayai membantu menaikkan syahwat kerana berfungsi menghantar pesanan tertentu kepada otak dan seterusnya mengubah persepsi dan ragam suasana. Jadi, anda disyor memilih haruman lembut menggoda kala bersama pasangan. Satu lagi cara membina ikatan romantik menerusi usaha mendekatkan diri dengan alam semulajadi ialah pada saat matahari naik. Cahaya matahari pagi menerbitkan satu perasaan indah yang sukar diucapkan kala terjaga. Oleh itu, bilik tidur mengarah matahri terbit (timur) membawa masuk limpahan cahaya luar sekali gus membantu anda lebih segar ketika bangun pagi. Bagi bilik tidur yang terletak arah bertentangan, anda masih boleh menikmati cahaya matahari pagi menerusi penggunaan fabrik nipis untuk langsir. Atau menyelak sedikit langsir pada waktu malamnya supaya bilik ditembusi cahaya matahari pagi dan menampilkan wajah yang ceria tatkala bangun, hasilnya anda tampil lebih menawan di mata pasangan.

SUASANA BILIK TIDUR DAN ANDA

  • Bilik tidur bersepah dan katil jarang berkemas – tidak menghormati diri
  • Penuh dengan barangan peribadi – ingin bercinta dan dicintai
  • Minimalis dan lapang – hubungan tegang atau cepat cemburu
  • Pakaian berselerak di atas lantai – tidak bertanggungjawab dalam perhubungan
  • Dilengkapi komputer dan meja kerja – memberi tumpuan kepada kemahiran dan kejayaan peribadi berbanding hubungan suami isteri
  • Dilengkapi pelbagai peralatan sukan atau poster kereta/kapal terbang/kereta api – tidak matang dan perlu membuktikan keupayaan diri
  • Banyak kain renda, rambu-ramba dan patung lembut – ghairah seks dan ingin berasmara
  • Katil besar, warna merah dan cadar sutera – lebih mengutamakan seks
  • Televisyen di dalam bilik – enggan menjalin hubungan rapat

WARNA DAN SUASANA

  • Biru muda/hijau – sejuk dan menenangkan
  • Ros, merah jambu – menyejukkan perasaan
  • Merah – seksual dan keghairahan
  • Kuning – terang dan ceria
  • Pic/apricot – hangat dan intim
  • Kuning keperangan – sunyi dan damai
  • Ungu – mewah dan dramatik
  • Jingga – sejuk dan tenang
  • Putih – neutral

SERLAHAN GAYA MODEN

Lena disuluh kelam cahaya lilin. Asyik menghidu aroma manis bunga wangian kering, lilin aromaterapi berbau lavender dan vanila. Di atas meja sisi pula berhias sejambak mawar segar yang disusun indah dalam bekas kristal. Oh! Terasa bagai dalam kisah dongeng: khayal menatap mawar sambil berteman irama muzik instrumental yang berkumandang daripada sistem audio di penjuru kamar tidur. Itulah gambaran yang lazimnya bermain dalam minda jika membicarakan perihal bilik tidur romantik.

Namun, lain orang berbeza citarasanya kerana pengertian romantik yang luas dan universal. Penggunaan lilin tidak semestinya menzahirkan suasana romantik, lampu bercahaya malap belum tentu membentuk suasana mengiurkan dan pilihan bunga yang tidak tepat mampu mencacatkan pemandangan seluruh bilik.

 

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *