Panduan Memilih Warna Kertas Dinding

Pemilihan warna kertas dinding penting dalam menentukan keluasan sesuatu ruang. Kertas dinding berwarna cerah lazimnya mampu membuatkan suasana ruang nampak luas dan besar sedangkan warna gelap mengubah persepsi pandangan seolah-olah ruang itu kelihatan sempit.

Sebarang kesilapan memilih corak atau warna perlu dielakkan kerana kertas dinding yang sesuai mampu membangkitkan mood seseorang. Selain itu, persediaan harus dibuat sebelum memotong kertas dinding. Jika ingin membuat sendiri dan tidak mengharapkan khidmat pakar, ikuti panduan yang diberi supaya dapat menghasilkan yang terbaik.

  1. Pilih warna yang sesuai. Bukan sekadar melihat contoh kepingan malah perlu juga melihat gambaran menyeluruh di ruang pameran supaya dapat membuat pilihan mengikut cita rasa.
  2. Sekembalinya di rumah, buat lakaran secara ringkas pelan di atas kertas. Pelan itu menunjukkan bahagian yang mana dan di ruang apa; hendak dipasang kertas dinding.
  3. Ambil ukuran keseluruhan tinggi dan lebar bilik atau permukaan dinding yang hendak dipasang kertas dinding, misalnya dari sudut ke pintu bilik, kemudian dari pintu bilik ke bingkai tingkap serta lebar tingkap dan dari bingkai tingkap ke sudut seterusnya pula.
  4. Jangan lupa untuk mengukur ketinggian siling untuk setiap ruang jika aras silingnya tidak sama.
  5. Kemudian tandakan permukaan yang hendak dipasang kertas dinding. Penandaan dibuat mengikut corak atau warna, jika pelbagai ragam motif yang hendak diketengahkan dalam satu-satu ruang.
  6. Jika sudah tahu lebar kertas dinding, tandakan titik pada tempat kertas dinding bakal bersambung. Dengan itu, dapat diketahui berapa panjang kertas dinding yang perlu dibeli dan digunakan.
  7. Kaedah lain membuat anggaran berapa banyak kertas dinding yang diperlukan adalah mengambil ukuran keluasan permukaan dinding yang ingin dipasang dengan melebihkan sedikit kertas dinding yang hendak diguna daripada ukuran sebenar.
  8. Untuk melakukan kerja-kerja pemasangan kertas dinding, anda hanya memerlukan gunting pisau pemotong, span, pisau bermata lurus, peralatan meratakan/melicinkan tampalan (smoothen) dan meja kerja.
  9. Bagi mendapatkan hasil yang sempurna, pastikan permukaan dinding rata. Jika tidak, gunakan tampalan simen, plaster atau cat untuk menutup sebarang tanda lekuk, bekas jari atau permukaan yang tidak rata.
  10. Jika terdapat kesan retak pada dinding. Ia perlu ditampal plaster gypsum untuk menutup kembali keretakan tersebut.
  11. Pastikan juga permukaan dinding kering dan bebas daripada cendawan, kulat dan sebagainya. Ini akan menyukarkan lagi keadaan untuk memasang kertas dinding pada dinding rumah.
  12. Kini, kebanyakan kertas dinding disaluti pelekat gam. Ini memudahkan anda memasang sendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah merendamkan kertas dinding ke dalam air. Begitu juga dengan kertas sempadan, bezanya hanya perlu direndam sekejap di dalam air sejuk.
  13. Guna vinil atau pelekar vinil sekiranya anda ingin memasang kertas sempadan di atas kertas dinding yang lain atau cat separuh kilat. Lebihkan setengah inci di penjuru garisan siling sekeliling bilik. Sewaktu menampal, pastikan anda meratakan permukaannya dengan kemas.
  14. Ketika menampal, pastikan anda telah mengenal pasti bahagian atas atau bawah kertas dinding. Untuk kertas dinding bercorak bunga, bahagian tangkai perlu diletak di bahagian bawah diikuti dengan kelopak bunga. Bagi corak yang lain pula, anda harus membaca dahulu arahan yang tertera pada gulungan kertas bagi mengelakkan berlakunya kesilapan.
  15. Untuk mengelakkan berlakunya gelembung buih sewaktu menggantung kertas dinding, anda hanya perlu mencucuk bahagian gelembung menggunakan jarum peniti. Sebaiknya, lakukan ketika gam masih basah.
  16. Jika anda berhajat untuk menanggalkan kertas dinding anda, semburkan permukaan kertas dinding dengan air panas yang dicampur setengah cawan cuka.
Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *