Percahayaaan Ruang Tamu

Pencahayaan adalah unsur penting dalam menghias ruang tamu. Penggunaan sejenis lampu sahaja tidak memberikan pencahayaan yang cukup kepada ruang kerana ia bukan sahaja sekadar menonjolkan perhiasan atau warna ruang malah untuk perkara lain seperti membaca, menjahit, menonton atau bermain permainan ringan seperti catur.

Tentukan kesesuaian lampu dengan fungsi ruang dan kedudukan punca kuasa sebelum melengkapkan kemasan akhir rumah, misalnya lampu berpencahayaan ke bawah lebih sesuai dipasang di ceruk atau relung. Selain itu, demi keselesaan hubungkan lampu meja dan lampu berdiri dengan suis tunggal yang dipasang berdekatan pintu masuk. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu difikirkan.

Merangka pelan iaitu mengukur keluasan ruang tamu dan lukis di atas kertas berskala. Tanda bahagian atau binaan kekal seperti tingkap, para-para dan rak siap dipasang. Jangan abaikan suis sedia wujud. Pelan susun atur perabot termasuk kedudukan peralatan pandang dengar dilakar kemudian. Dari sini, anda mungkin mengagak bilangan soket yang diperlukan. Menerusinya juga, anda tahu di mana lampu lekap patut dipasang.

Lengkapi sistem pencahayaan dengan suis yang boleh dilaras kadar cahaya. Pencahayaan yang suram dan redup menimbulkan suasana seperti dramatik atau romantik. Dan apa juga tambahan kepada sistem pencahayaan memerlukan pendawaian semula yang menyebabkan kos perbelanjaannya mahal kerana membabitkan khidmat golongan professional.

Jangan cuba untuk melakukan sendiri jika tidak arif mengenai prosedur pemasangan. Sebaik-baiknya hubungi juruelektrik bertauliah untuk pendawaian semula secara professional. Pastikan semua soket, suis, palam dan punca kuasa menepati ciri-ciri keselamatan. Ingat, jangan menambah beban kepada sumber kuasa melalui penyambungan secara berbahaya dan hindari wayar meleret kerana anda mungkin tersadung.

Banyak perkara yang harus diambil kira semasa memilih pencahayaan yang praktikal dan fleksibel. Berikut kami senaraikan tiga jenis pencahayaan yang boleh dipilih.

LATAR

            Ia adalah pencahayaan paling asas di ruang tamu yang dikawal jumlah cahayanya menerusi suis, antaranya lampu siling jenis lekap, gantung dan chandelier. Bergantung kepada ketinggian siling dan jenis mentol yang digunakan, kesan pencahayaan lazimnya tidak ketara. Oleh itu ia perlu dibantu dengan pencahayaan tambahan seperti lampu meja atau lampu lantai untuk mendapatkan ragam suasana yang lebih menarik.

SETEMPAT

Tambahan penting kepada pencahayaan biasa yang membangkitkan ragam suasana dan membezakan fungsi sesebuah ruang. Justeru itu, ada pencahayaan yang dikhususkan untuk perbuatan tertentu seperti membaca, merai tetamu, berpesta, bersantai atau tidur.

Gabungan aneka lampu seperti lampu dinding, lampu meja, lampu tumpu mencipta limpahan cahaya yang bertindih sekaligus menjadikan ruang nampak bertambah luas.

Tumpuan arah pencahayaan juga penting. Sesetengah lampu menghasilkan cahaya yang berserakan manakala sebahagian lagi lebih tertumpu.

Menerusi penggunaan pencahayaan yang sesuai, skema corak dan warna kemasan lebih menyerlahkan. Perhiasan seperti bekas seramik polos atau kayu nampak lebih menarik apabila diletakkan di bawah tumpuan lampu meja.

Selain itu, penggunaan lampu sorot yang boleh diubah arah pencahayaannya sangat berkesan untuk mewujudkan suasana dramatik apabila disembunyikan di celah binaan kabinet hiasan atau rak. Objek yang diterangi dari atas menampilkan perwatakan dramatic manakala dari bawah mencipta bayang-bayang menarik. Perhiasan daripada kaca mampu mengundang perasaan teruja apabila diterangi pencahayaan dari bawah atau dari belakang rak kaca manakala lampu dinding atau lampu sorot siling yang direka untuk menerangi gambar akan menjadikan gambar dan persekitarannya lebih menawan.

KERJA

Dalam merancang kedudukan pencahayaan di ruang tamu, fikirkan mengenai kepelbagaian kegiatan yang biasa dibuat di situ. Membaca misalnya lebih selesa jika dibekalkan dengan sumber cahaya dari bahagian atas atau belakang tubuh. Lampu meja atau lampu lantai diletak di belakang kerusi mampu meyediakan kesan cahaya sebegini. Bagi kerja yang memerlukan tumpuan gunakan lampu meja.

Sumber cahaya tunggal yang menyuluh bilik gelap dikatakan tidak elok untuk mata maka anda disyor memilih lampu berpencahayaan menyeluruh asalkan tidak berlaku pantulan cahaya pada skrin televisyen.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *