Panduan Memilih Kemasan Dinding

KEMASAN pada dinding adalah antara bahan yang berfungsi menyerikan ruang dan bilik kediaman. Ada pelbagai jenis kemasan dipasaran yang boleh digunakan untuk tujuan ini, antaranya cat, kertas dinding, fabrik, jubin, vinil dan panel dinding yang dihasilkan daripada kayu, logam atau gentian. Dalam memilih jenis kemasan yang hendak digunakan, beberapa aspek tertentu perlu diberi perhatian.

Aspek terpenting ialah memastikan konsep ruang yang dipilih mempunyai kesinambungan daripada semua elemen yang wujud dalam ruang berkenaan, termasuk kemasan pada dinding. Kita perlu menghadkan penggunaan bahan, warna, corak dan tekstur supaya tidak keterlaluan pada pandangan. Dikhuatiri jika digunakan tanpa kawalan, ia akan menampakkan ruang kelihatan kelam kabut. Jika perlu, pelbagaikan pilihan yang mempunyai persamaan. Kita mungkin boleh mewujudkan kesinambungan berdasarkan gabungan berikut:

  • Bahan sewarna, tetapi berbeza corak dan tekstur;
  • Warna serupa dengan bahan, tetapi berbeza corak dan tekstur;
  • Corak serupa dengan bahan, tetapi berbeza warna dan corak; serta
  • Tekstur yang serupa dengan bahan, tetapi berbeza warna dan corak.

Jika diamati gabungan berkenaan, wujud persamaan yang mengikat kepelbagaian perbezaan itu. Dengan adanya persamaan sebegini, maka mata dan perasaan kita tidak akan keliru dengan pelbagai perbezaan yang wujud bersama tetapi tanpa disedari.

Aspek kedua yang perlu dipertimbangkan ialah soal kos. Ia antara yang menghadkan penggunaan bahan mahal sekalipun itu yang dihajati. Namun, kreativiti yang ada membolehkan kita mengolah penggunaan bahan murah secara kreatif tanpa perbelanjaan tinggi. Bahan yang boleh disapu terus pada permukaan dasar lebih murah dan cat adalah antara bahan paling murah yang sentiasa digunakan sebagai bahan kemasan dinding.

Kemasan cat paling ketara ialah boleh diperolehi dalam pelbagai warna yang tidak terhad. Manfaatkan bahan ini secara kreatif. Olah skima warna dangan menbuat rujukan daripada buku dan majalah rekabentuk dalaman.

Kos penggunaan cat akan meningkat sekiranya permukaan dinding perlu dikikis daripada bahan kemasan sebelumnya. Dalam konteks ini, penggunaan kertas dinding mungkin lebih kemas dan menjimatkan kos serta masa.

Aspek ketiga membabitkan ketahanan bahan kemasan yang digunakan. Ini bergantung kepada keadaan bahan itu, faktor luaran dan dalaman. Keadaan bahan kemasan dan cara penggunaannya pada permukaan dinding akan menentukan jangkamasa ketahanannya.

Bahan bermutu rendah akan menghasilkan ketahanan yang rendah, di samping mengurangkan jangkamasa hayat bahan berkenaan. Misalnya, jika gam pelekat kurang bermutu digunakan untuk menampal kertas dinding, kemungkinan kertas itu mudah lekang. Orang yang kurang mahir memasangnya juga akan mencacatkan permukaan dinding dan mengurangkan jangkamasa hayat bahan itu.

Faktor luaran yang dimaksudkan, antaranya serapan air dari dinding sebelah luar atau serapan air dari lantai, yang boleh menyebabkan permukaan dinding bahagian dalam lembab dan berlumut. Ini mengakibatkan kemasan dinding rosak. Sekiranya cat berasaskan air digunakan, ia mungkin menimbulkan tompok hitam pada permukaan dinding. Kertas dinding pula mungkin lekang manakala panel dinding daripada kayu, akan melengkung dan reput dalam tempoh singkat. Malah, mungkin menjadi tempat anai-anai membiak.

Faktor dalaman pula membabitkan tahap kelembapan yang tinggi atau terlampau kering serta panas. Jika ruang terlalu lembab, kerosakan serupa seperti di atas akan berlaku. Begitu juga jika keadaan bilik terlalu panas, permukaan yang disapu cat akan merekah. Sekiranya menggunakan panel kayu, ia juga mudah kering dan merekah.

Sehubungan dengan itu, pastikan pengaruh elemen yang boleh merosakkan kemasan dinding, dielakkan supaya hayat kemasan tahan untuk jangkamasa lama.

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *