Wujudkan Suasana Impian

impian impiana

Keadaan tidur amat penting bagi kesihatan dan mutu kehidupan manusia. Persekitaran tidur hendaklah selesa dan nyaman supaya kita dapat menjalani kegiatan seharian dengan segar dan sempurna. Boleh dikatakan satu pertiga daripada hidup orang dewasa dihabiskan untuk tidur manakala bayi dan warga emas mengambil masa yang lebih lama. Justeru itu, semua orang memerlukan keselesaan tempat tidur.

Mereka bentuk bilik tidur memerlukan kepekaan terutama dalam hal pemilihan gaya yang serasi dengan cita rasa. Sebarang ilham tidak boleh terus dizahirkan sebaliknya perlu dikaji dan dibayangkan terlebih dahulu sama ada sesuai dan selesa diguna.

Gaya suasana adalah yang pertama perlu ditentukan dalam mereka bentuk ruang tidur. Tanya diri sendiri suasana bagaimanakah yang paling baik dan mampu memberikan keadaan tidur yang bermutu.

Bagi yang menyukai gaya tertentu, pertimbangkan kesesuaiannya dengan kehendak hati. Misalnya, adakah sesuatu perabot seperti meja solek menepati keperluan dan serasi dengan gaya penataan yang hendak diterapkan ?

Perlu diingat bahawa waktu tidur juga adalah masa untuk memulihkan tenaga. Justeru itu, suasana bilik bukan sahaja perlu tenteram, malah dapat menggalakkan pemulihan tenaga.

Ketenteraman fikiran juga perlu untuk mendapatkan tidur yang nyenyak. Janganlah hendaknya sesuatu reka bentuk itu menyebabkan gangguan kepada tidur kita.

Bagaimana pula dengan pengaruh warna ? Tidak dinafikan warna juga memainkan peranan sebagai unsur pemulihan, maka itu terciptanya kaedah terapi warna dalam bidang kesihatan ini berikutan setiap warna mempunyai fungsinya yang tersendiri dan pemilihan warna yang sesuai penting untuk kehidupan yang harmoni.

Selain itu, pertalian aura dengan pemilihan warna perlu serasi dengan individu yang menghuni bilik tidur. Secara amnya, warna biru muda adalah untuk ketenteraman, hijau untuk pemulihan dan merah muda bagi suasana mesra. Warna-warna neutral seperti beige dan putih pula memberikan suasana yang segar dan nyaman. Biar apa pun warna yang dipilih, warna itu mestilah sesuai untuk ditatap dan mampu memberikan keselesaan.

Penggunaan warna yang garang hendaklah dipilih dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan ketegangan sewaktu beristirahat dan tidur. Ini perlu diambil kira oleh mereka yang banyak menghabiskan masa menghadap layar komputer kerana mereka memerlukan suasana yang mampu merehatkan mata dan fikiran sepenuhnya.

Bagi kanak-kanak pula, walaupun mereka sukakan warna memberangsang seperti merah dan jingga, amalan mengimbangkan warna juga sangat penting. Kanak-kanak mungkin suka warna sebegitu tetapi andainya warna berkenaan mempengaruhi tahap kecergasan dan rehat mereka, maka elok lah dielakkan.

Seandainya warna kegemaran anak tetap daripada kumpulan garang, gabungkan sedikit dengan tona yang lebih lembut atau neutral bagi menerbitkan unsur tenteram. Ini bermakna tidak perlu semua dinding diberikan warna garang sebaliknya hadkan pada dinding paling kecil sahaja.  Ini kerana warna garang Nampak menonjol, jadi memadai diguna pada kadar yang sedikit.

Bilik tidur untuk warga emas pula sesuai menerapkan warna lembut yang tenteram dan mesra. Pertimbangkan kehendak mereka dan pilih warna yang dapat mewujudkan suasana sedemikian. Corak halus bermotif ceria dan tenteram menepati jiwa golongan ini. Ruang keseluruhan pula seharusnya segar, nyaman dan riang. Ini adalah antara faktor yang harus diambil kira seandainya anda ingin meluahkan kasih sayang kepada orang tua melalui penyediaan bilik yang selesa.

Tidak kira sama ada bilik tidur orang dewasa, kanak-kanak atau orang tua, suasana pasti sempurna jika diiringi kemasan fabrik yang serasi dengan jiwa penghuninya. Sewajarnya, sentuh fabrik sebelum dibeli untuk merasa teksturnya sama ada lembut, kasar atau halus. Langsir boleh menggunakan kain kasar dan kesat tetapi cadar dan selimut perlulah bersifat lembut.  Setiap jenis fabrik seperti satin, baldu, sutera dan kapas memberikan suasana dan sentuhan yang berlainan.

Suasana bilik tidur tampil menyerlah apabila menggunakan unsur pengcahayaan yang sesuai dan akan suram jika silap memilih lampu. Ini kerana lampu adalah peralatan penting yang turut menentukan gaya keseluruhan bilik tidur.

            Penataan bilik tidur tidak akan lengkap tanpa diselitkan unsur deria baud an bunyi. Aroma harum dapat merehatkan fikiran, begitu juga dengan lagu dan muzik yang turut menyumbang kepada suasana yang disenangi dan mengasyikkan.

Kesimpulannya, bilik tidur diibaratkan ruang spa peribadi yang unik di rumah. Gunakanlah peluang ini untuk mencuba dan memanjakan diri sendiri. Sediakan suasana yang paling nyaman sebagai halwa sentuhan seluruh deria kita demi meningkatkan mutu istirahat dan kehidupan.

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *