KEPALA katil yang kurang menarik dan buruk boleh dilindungi dengan memasang sarung cuma ia tidak berzip atau berbutang ketip, sebaliknya dipasangkan tali di tepi bahagian bawah untuk mengukuhkan kedudukan sarung. Fabrik sarung boleh diselaraskan dengan warna atau corak cadar untuk menimbulkan keharmonian atau memilih warna bertentangan bagi memecah suasana. Jika mahu lebih cantik, permukaan sarung boleh dikemaskan dengan jahitan quilt.
Bahan yang diperlukan ialah fabrik, pensil, kertas, pita pengukur, kapur menjahit, fabrik polos untuk pengikat, pin, gunting, dan jarum. Sarung ini mudah ditanggalkan untuk membersihkannya. Perlu diingat, sarung untuk kepala katil kayu perlu dipasang pad.
CARA MEMBUAT:
1. Ambil ukuran kepala katil. Kalau kepala berbentuk melengkung atau bersegi lakar dahulu di atas kertas surih dan padankan dengan ukuran kepala. Jika kepala boleh ditanggalkan letak atas kertas dan lakar.
2. Jika mahu membuat sendiri sarung berkemasan quilt, potong beberapa panel fabrik dengan memperuntukkan lebihan 13 sentimeter di sekelilingnya. Kalau tidak mencukupi sambungkan di kiri dan kanan panel yang besar, kemudian dijahit quilt.
3. Tanda bahagian lurus kepala katil dengan kapur jahit di atas fabrik quilt atau pinkan contoh kepala katil di atas fabrik. Potong dua keping panel berukuran serupa dengan memberi lebihan tiga sentimeter di sekeliling untuk mengelim dan melonggarkan sarung. Jika kepala katil tebal, elok dilonggarkan sedikit sarungnya.
4. Tanggalkan jahitan quilt sebanyak 1.5 sentimeter di sepanjang tepi bahagian bawah setiap panel. Potong isi dan belakang fabrik selebar 1.5 sentimeter. Lipat ke dalam 5 milimeter bahagian tepi bawah fabrik atas dan lipat 1 sentimeter lagi kemudian jahit.
5. Potong jaluran kun berukuran 6 sentimeter daripada fabrik polos untuk dijahit di sekeliling tepi dan atas kecuali bahagian bawah panel. Beri lebihan ukuran 15 sentimeter untuk mengelim.
6. Hampar panel hadapan dan belakang dengan menemukan kedua-dua bahagian luarnya. Pin dan jahit.
7. Jahit kun. Kemudian lipat kun ke dalam menutupi tepi fabrik panel belum dikemaskan dan jahit sembunyi.
8. Jahit dua pasang tali di bahagian tepi bawah sarung untuk mengelakkannya terlucut dari kepala katil. Setiap tali dipotong serong berukuran enam sentimeter lebar dan 15 sentimetr panjang kemudian dilipat dua secara memanjang dan jahit dari hujung atas hingga ke sisi. Terbalikkan dan gosok serta jahit bahagian hujung yang belum dikemaskan. Lipat dua dan jahit di bahagian tepi bawah sarung.