Selain memastikan komunikasi antara pasangan suami isteri sentiasa baik, suasana bilik tidur juga perlu dititikberatkan kerana di sinilah segala-galanya bermula. Di dalam bilik tidur kita boleh mengeratkan semula hubungan dan tentu sekali dalam persekitaran yang dapat merangsang emosi serta minda. Semarakkan cinta di bilik tidur diutamakan
Malah, keadaan bilik tidur turut menggambarkan sikap kita terhadap cinta dan hubungan kelamin. Katil yang tidak berkemas dan pakaian berselerak di atas lantai boleh ditafsirkan sebagai anda menikmati malam penuh romantik namun jika bilik sentiasa berselerak, itu tandanya anda pemalas, pengotor dan tidak saling menghormati.
Bagaimanapun, bilik tidur yang terlalu ringkas pula menunjukkan anda dan pasangan sukar meluahkan perasaan. Dengan mewujudkan persekitaran bilik tidur yang romantik akan membuatkan anda berasa tenang dan peka dengan keperluan pasangan. Untuk mewujudkan suasana ini, anda perlu merancang pembentukan bilik tidur secara sempurna tanpa mengetepikan keseimbangan fungsi dan selera dengan mengelak daripada melakukan 10 perkara berikut.
ELAKKAN 10 PERKARA BERIKUT
1) Jangan jadikan bilik tidur sebagai bilik untuk bekerja
Jangan salah tafsir. Anda boleh membentuk sudut kerja di dalam bilik tidur, tetapi bukan menjadikan bilik tidur sebagai bilik kerja. Dan pastikan sudut kerja itu tidak berselerak, kertas bertaburan di merata tempat dan komputer sentiasa terpasang. Semua ini boleh mengganggu keharmonian jika asyik dengan kerja sehari suntuk, hatta di bilik tidur pun, pasangan boleh hilang semangat dan keghairahan. Ingat, bilik tidur adalah tempat untuk anda dan pasangan berehat! Jika perlu bekerja, anda mesti bijak memperuntukkan masa yang sesuai atau dapatkan keizinan daripada pasangan jika mahu memberi perhatian kepada pekerjaan pada hari berkenaan. Maklumlah, kerja itu adalah rezeki dan jika kena cara berkomunikasi sudah tentu pasangan anda akan memahami.
2) Jangan bergantung kepada udara semula jadi semata-mata
Bilik tidur yang hanya bergantung kepada udara semula jadi tidak dapat memberi kesan baik terhadap hubungan suami isteri. Pastikan bilik tidur turut menyediakan kipas angina tau alat penghawa dingin bagi mewujudkan suasana lebih selesa, terutama ketika cuaca panas.
3) Jangan pasang lampu bercahaya terlalu terang
Ramai yang sukakan bilik terang-benderang, kononnya lebih puas melihat persekitaran. Memang benar, tetapi keadaan begitu diperlukan sewaktu anda sedang berkemas, berdandan dan menyiapkan kerja pejabat. Pada waktu yang lain eloklah dinyalakan lampu bercahaya malap atau samar-samar bagi mewujudkan suasana syahdu dan romantik. Pencahayaan berwarna juga dapat member kesan baik untuk merangsang emosi bersama pasangan. Kalau boleh sediakan lampu meja berterendak di sisi katil.
4) Jangan guna kemasan daripada fabrik jenis sama
Jika menggunakan katil biasa, gantung tabir putih nipis di dinding belakang kepala katil, tetapi jika menggunakan katil bertiang maka lebih sesuai dipasangkan tabir di sekelilingnya. Jangan sekali-kali membiarkan tiang togel tanpa berhias. Kehadiran tabir itu memberi kesan gambaran romantik, lembut dan mesra. Pastikan juga gebar dan cadar daripada fabrik lembut yang memberikan sepenuh keselesaan kepada tidur anda. Cuma langsir biarlah menggunakan fabrik tebal kerana tekstur begini penting untuk meningkatkan rangsangan emosi dan keghairahan, selain berupaya memberi suasana privacy yang diharapkan. Fabrik satin dan sutera adalah antara yang dicadangkan. Namun paling penting ialah menjaga kebersihan katil!
5) Jangan biar bilik tidur berbau hapak
Aroma adalah cirri semula jadi yang membawa mesej kepada otak dan seterusnya memperbaiki tanggapan serta persaan kita. Kehadiran bau-bauan yang digemari pasangan memainkan perana penting dalam keutuhan hubungan fizikal dan mental. Apabila masuk sahaja ke dalam bilik sudah berbau wangi, tentulah ini dapat mewujudkan perasaan gembira. Walaupun ramai menggunakan pewangi untuk meningkatkan daya tarikan, tidak ramai yang tahu atau mahu menyediakan pewangi di bilik mereka, apatah lagi dirumah!
6) Jangan biarkan pintu bilik tidak berkunci
Apa gunanya berpintu kalau tidak berkunci, lebih-lebih lagi pintu bilik tidur – ruang peribadi yang memerlukan privacy! Oleh itu pastikan bilik tidur mempunyai pintu dan sistem kunci yang baik. Selain sebagai langkah keselamatan, anda juga tentu ingin bersendirian tanpa gangguan dan pemasangan kunci yang baik boleh menghindari sebarang masalah tidak diingini.
7) Jangan gantung pakaian merata-rata
Keindahan bilik tidur yang menggunakan katil bertiang diserikan lagi dengan tabir di sekelilingnya mestilah dikekalkan. Jangan pula katil bertiang yang dihias cantik akhirnya bertukar menjadi tempat menggantung pakaian, lebih-lebih lagi apabila anak kecil tidur bersama! Penyediaan tiga kelengkapan ini adalah penting, iaitu:
(a) Bakul untuk mengisi pakaian kotor.
(b) Ampaian untuk menyangkut pakaian harian yang sudah dipakai, tetapi belum
bersedia untuk dicuci.
(c) Kabinet untuk menyimpan pakaian bersih.
Anda bukan sahaja perlu memastikan pakaian tidak bersepah merata-rata bilik, tetapi juga hendaklah dikemaskan pakaian di dalam kabinet dan bukannya menggantung sesuka hati. Pastikan pakaian berlipat disusun mengikut jenis atau keperluan di tempatnya yang bersesuaian , misalnya di dalam laci kabinet.
8) Jangan menghias tanpa minta pandangan pasangan
Sebagai menghormati pasangan, pastikan anda meminta buah fikirannya sebelum memilih warna cat, kelengkapan bilik dan penataan cahaya. Walaupun ada yang menganggap hal ini Cuma masalah kecil dan mudah, cita rasa pasangan tetap penting untuk dipertimbangkan kerana kita berkongsi bilik. Tentulah tidak wajar kalau anda seorang sahaja menentukan warna apa yang sesuai, katil bagaimana elok dibeli, lampu jenis apa patut diguna. Bahkan seelok-eloknya dapatkan juga pandangan pasangan mengenai susun atur kelengkapan di dalam bilik berkenaan. Setidak-tidaknya semua ini dapat mengelak diri anda daripada dipersalahkan kalau ada yang tidak kena! Lagipun asa kepada perhubungan yang kekal mesra dan bahagia ialah hormat-menghormati, sepakat dan saling memahami.
9) Jangan biar kesunyian menyelubungi waktu
Memang ada kala kita memerlukan suasana sunyi. Kita tidak mahu diganggu oleh bunyi muzik atau apa sahaja yang boleh menjejas daya tumpuan dan kreativiti. Namun itu bukan bermakna kita memerlukan suasana sunyi sepanjang masa. Sebaik-baiknya apabila berdua-duaan di dalam bilik, pasanglah muzik berirama perlahan untuk merangsang perasaan dan fizikal. Justeru itu, sediakan alat pandang dengar di penjuru bilik untuk kemudahan mendengar muzik atau menonton filem kegemaran anda berdua.
10) Jangan tetapkan satu gaya sahaja
Tahukah anda bahawa ada pasangan yang sukakan suasana berubah-ubah di bilik tidur. Oleh itu, fahami kehendak pasangan anda. Kalau dia jenis yang tidak suka kepada sesuatu gaya dalam tempoh lama, maka bersiap sedialah untuk mengubahnya dari semasa ke semasa. Ini boleh dilakukan dengan mengubah susun atur kelengkapan dan menukar kemasan yang mudah diganti sahaja seperti set cadar, gebar selesa dan sarung kusyen hiasan. Lagipun dengan melakukan penukaran gaya mampu membentuk suasana segar yang boleh mewujudkan unsur kejutan buat pasangan! Dalam hal ini, anda dinasihatkan supaya berfikir banyak kali sebelum memilih warna cat dan membeli kelengkapan asas. Pastikan anda memilih dan membeli jenis yang mudah dipadankan untuk sebarang gaya.