BERGAYA SEPANJANG MASA

Menghias bilik remaja menyeronokkan kerana aneka unsur hiasan boleh dipilih untuk disesuaikan mengikut gaya yang ingin diterapkan. Anda sebagai ibu bapa hendaklah meletakkan diri di peringkat usia anak untuk memahami kehendak dan kegemaran mereka. Hormati keinginan mereka.

Dalam merancang penataan bilik remaja, harus diingat bahawa mereka memerlukan ruang yang lebih banyak untuk keselesaan bergerak. Di peringkat usia agresif ini, anak remaja pantas menolak cadangan ibu bapa yang tidak selari dengan dia rasa mereka. Memang sukar untuk memuaskan hati mereka, justeru itu tanyalah dahulu pendapat si anak sebelum memutuskan sebarang gaya hiasan. Ingat, bilik itu adalah bilik mereka dan tentulah mereka berhak menentukan apa yang perlu d’buat dan bagaimana perlu dihias seperti mana anda berhak memutuskan gaya hiasan di bilik anda dan di ruang lain di dalam rumah.

Bagi memudahkan anda merancang gaya penataan bilik anak remaja, beri pertimbangan kepada panduan umum yang disenaraikan.

PANDUAN UMUM

  • Perhiasan tidak semestinya mahal Dengan sedikit perbelanjaan tetap boleh mewujudkan suasana funky menerusi pilihan warna dinding, corak bantal, hamparan, terendak lampu, bingkai gambar dan perhiasan dinding.
  • Gantungan bod nota, jika dibentuk kreatif dengan menampilkan kesinambungan warna ruang, boleh menjadi tarikan. Permukaan bod boleh mempamerkan corak kolaj menggunakan gambar kesukaan dan keratan majalah.
  • Barangan permainan seperti pedang, pisau pemburu, tali, perisai hatta pinggan boleh dijadikan perhiasan dengan menggantung di dinding atau dipamerkan di sudut tertentu.
  • Pilih pelbagai reka bentuk lampu bacaan, lampu meja atau lantai berterendak yang sesuai dengan jiwa mereka.
  • Letak unsur yang menjadi kegemaran mereka bagi merangsang semangat pembelajaran mereka.
  • Sarung kusyen alas duduk kerusi anyaman rotan boleh disuai padan mengikut warna dan skema ruang.
  • Kerusi lipat, bantal kacang atau kusyen hamparan boleh disediakan sebagai tempat duduk tambahan bagi rakan yang datang untuk melepak atau belajar bersama.
  • Tirai manik boleh digantung di muka pintu masuk atau dijadikan sebagai pemisah ruang katil bagi mereka yang berkongsi bilik.
  • Sediakan kabinet gantung di bilik air untuk menyimpan peralatan mandi. Jika menggunakan kabinet berpintu kaca lut sinar. susun barangan dengan kemas. Kalau tidak, guna kabinet berpintu kayu sahaja.
  • Meja belajar dan bakul pakaian kotor adalah antara kelengkapan wajib manakala kerusi, bangku dan meja sampingan sekadar keperluan tambahan.
  • Tempat belajar harus selesa dan lengkap. Jika mempunyai komputer, pastikan anda menyediakan kerusi dan meja komputer yang bersesuaian untuk mereka.
  • Jika ruang bilik luas, apa salah menyediakan sofa tabrik/pvc satu atau dua tempat duduk.
  • Jika mereka gemar mendengar muzik yang lantang, pasang bilik dengan sistem kalis bunyi supaya tidak mengganggu ahli keluarga lain.

 

SELERA PEREMPUAN

Puteri kecil anda kini sudah meningkat remaja. ini bermakna cita rasa dan kehendak mereka sudah berbeza berband’ng zaman kanak-kanak duiu, sama ada dari segi pakaian mahupun suasana bilik. Bukan senang hendak mengubah suasana dalam sekelip mata, tambahan jika bilik sarat dengan barangan lama. Mula-mula kenalah fikirkan gaya yang hendak dibentuk. Berikut antara gaya yang digemari remaja perempuan.

  • TROPIKA

Untuk mereka yang menggemari haiwan. Selitkan cetakan motif haiwan dan rumput pada dinding dan fabrik kemasan seperti langsir serta sarung kusyen.

  • MERAH JAMBU

Sama ada mewarnakan keseluruhan bilik dengan merah jambu atau diterapkan pada satu bahagian dinding sahaja. sarung kusyen, perabot dan langsir.

  • BIRU

Sesuai untuk mereka yang menggemari kedamaian seperti di lautan luas. Jika mereka gemarkan unsur air, mengapa tidak dibawa ‘suasana tepi pantai’ ke dalam bilik menerusi pengunaan kertas dinding. Kini ada pelbagai corak seumpamanya yang boleh dipilih.

  • DENIM

Ini boleh diperlihatkan pada sarung kusyen, sarung bantal dan cadar. Bahkan anda boleh buat ropolan tingkap daripada tali hirisan jeans.

  • KOTEJ

Untuk gaya ini, guna fabrik corak halus, perabot rotan bercat putih dan barangan hiasan berkemasan rustik.

  • EROPAH

Untuk mereka yang menggemari imei glamor. Ini membabitkan penggunaan perabot rococo, baroque, neo klasik dan accent. Gaya begini juga lebih sesuai mengetengahkan warna hitam, putih atau dengan tambahan tona emas dan warna penegasan, di samping perabot vintage besi tempawan.

  • ALAM SEMULA JADI

Pengwujudan suasana taman menerusi cetakan bunga-bungaan pada ambal atau permaidani dan sarung kusyen serta set cadar. Bagaimanapun, dinding dan langsir biarlah polos. Selain itu, boleh juga dihias dengan tumbuhan segar.

  • EKSKLUSIF

Menerusi adunan warna hitam putih dengan tambahan sejalur merah atau emas.

 

SELERA LELAKI

Di peringkat usia membesar ini, kebanyakan anak lelaki dikatakan menyukai gaya gagah, tetapi mesti nampak cool yang diperlihatkan menerusi gantungan poster pemain bola sepak atau penyanyi metal kegemaran. Jika anda bercadang mengubah suasana bilik anak lelaki, panduan berikut diharap dapat membantu.

  • TANYA KEHENDAK ANAK

Jangan memperkecil hak dan kehendak anak. Oleh itu sebelum merancang, lebih baik minta pendapat mereka kerana mereka mungkin meminati sesuatu gaya. Seterusnya tentukan sejumlah perbelanjaan supaya tidak lari daripada sasaran, kemudian ambil ukuran bilik dan pilihlah gaya yang dikehendaki.

  • TENTUKAN SKEMA WARNA

Adakah mahu menggunakan kemasan cat atau lebih selesa dengan kertas dinding? Biru, ungu cair (mauve), coklat dan jingga adalah antara pilihan yang digemari. Atau boleh juga menggunakan dua tona warna, misalnya biru muda dan biru pekat.

  • RUANG UNTUK MEMPAMERKAN MINAT

Dinding sering menjadi mangsa untuk menampal gambar peribadi, poster pasukan/pemain bola sepak kegemaran dan penyanyi pujaan. Jika mereka cenderung kepada bidang tertentu seperti muzik dan lukisan, maka peralatan yang diguna seperti gitar, dram, tempat letak pensel warna dan sebagainya boleh membentuk sebahagian hiasan.

  • RUANG UNTUK BERGERAK

Akhir sekali, jangan lupa memperuntukkan ruang untuk bergerak. Janganlah dek ghairah menghias sampai tidak ada ruang untuk memusingkan badan dan melangkah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *