BILIK TIDUR SELESA DAN SIHAT

bilik tidur

PERSEKITARAN

Keselesaan hanya wujud jika suhu bilik nyaman. Pencahayaan dan nilai akustik juga perlu selesa. Harus diingat, penyediaan persekitaran yang baik tidak dapat dinilai secara tizikal tetapi dengan adanya ciri yang selesa, ruang kehidupan akan menjadi bertambah baik, sekaligus membuatkan kita berasa lebih tenteram untuk beristirahat.

Jika udara nyaman, tiadalah rasa bahang panas dan badan akan berasa selesa. Walaupun tidak selalu diberi perhatian, hal ini penting untuk mencapai mutu istirahat yang baik dan menjamin kesihatan.

Justeru itu, penggunaan sistem pengudaraan yang baik turut membantu. Di zaman ini kipas angin menjadi keperluan di semua ruang. Namun angin dari kipas membantu menggerakkan aliran udara tetapi tidak menyejukkan suhu seperti mana pendingin hawa. Oleh itu. pastikan kedudukan kipas di tempat yang betul. Jika mengguna pendingin hawa, pastikan ia dibersih mengikut jadual supaya mutu udara sentiasa bersih dan sihat.

Keselesaan persekitaran juga bergantung kepada mutu pencahayaan yang ada. Sebaiknya disesuaikan dengan kegiatan tertentu seperti membaca. Ada kala pasangan mempunyai minat yang berlainan misalnya, si isteri lebih suka membaca sebeium tidur, manakala suaminya tidak, dan ada juga yang bangun dan bersiap untuk ke pejabat mengikut masa berlainan. Untuk itu, hendaklah difikirkan kesesuaian kedudukan lampu supaya kedua-duanya tidak berasa terganggu dan sebarang kegiatan boleh dilakukan serentak.

Unsur pencahayaan penting kerana mutu akan mempengaruhi ragam suasana yang hendak ditimbulkan. Lampu kuning dikategorikan dalam kumpulan tungsten yang memberi suasana lebih hangat, manakala lampu putih menimbulkan suasana lebih nyaman.

Pengaruh matahari atau cahaya semulajadi yang masuk menerusi tingkap juga tidak kurang pentingnya untuk menentukan kedudukan perabot. Sinaran matahari boleh bertukar tahap kekuatannya sepanjang hari. Hal ini juga hendaklah difikirkan sebelum meletak perabot dan demi penjimatan kuasa elektrik. Langsir boleh diselak pada waktu pagi untuk membenarkan kemasukan cahaya semula jadi dan mengurangkan pengguasaan lampu. Anda juga boleh menghayati keindahan suasana yang diterangi cahaya semula jadi. Udara yang masuk menerusi tingkap juga dapat memberikan kesegaran dan mengurangkan ketegangan seharian.

Jika dibandingkan antara lantai jubin dan parket, jenis lantai daripada kayu memberi kelembutan dari segi sentuhan kaki dan pembalikan bunyi. Permukaan lantai yang keras selalunya membuatkan ruang itu kurang selesa bukan sahaja kepada tapak kaki tetapi pembalikan bunyi mengganggu pendengaran, berbanding menggunakan permaidani yang jauh lebih selesa dan memberi kesan akustik yang lebih bermutu.

Cara lain untuk menambah mutu akustik adalah menerusi pemilihan bahan permukaan siling yang bersesuaian. Penggunaan fabrik kemasan katil, kerusi dan langsir turut mempengaruhi suasana keseluruhan bilik tidur serta mutu akustik.

 

SUASANA

Suasana yang hendak ditimbulkan perlu sesuai dengan perwatakan tuan bilik. Ia mesti diperhalusi sebelum membuat pemilihan banyak aspek dalam mereka bentuk bilik tidur. Ini bukan sahaja akan menentukan konsep keseluruhan bilik tidur malah juga memastikan semua pilihan bahan dari segi warna, tesktur. perabot dan gaya yang betul.

Seorang jurureka yang berpengalaman akan mengambil kira semua keperluan yang disebutkan di atas untuk mereka bentuk sebuah bilik tidur yang indah dan selesa.

Unsur warna juga memainkan pengaruh penting untuk memenuhi ciri psikologi, prinsip warna dan nilai visual. Warna terang seperti merah dan jingga sangat menarik tetapi perlu diimbangi supaya tidak mengganggu ketenteraman bilik tidur. Warna gelap juga perlu diguna secara berhati-hati supaya tidak membuatkan bilik tidur kelihatan suram.

Gabungan dan perkadaran penggunaan warna adalah penting kerana bilik tidur diguna setiap hari dan memberi pengaruh positif dari segi kesihatan dan keselesaan merehatkan diri secara langsung ataupun tidak langsung untuk jangka masa panjang. Pendek kata reka bentuk bilik tidur sangat penting kerana kegiatan beristirahat dan tidur adalah penting bagi membaik pulih sel-sel dalam tubuh dan melegakan fikiran. Maka itu. pertimbangan terhadap sesuatu reka bentuk bilik tidur perlulah dinilai dari segi estetika, bahkan mesti turut menitikberatkan keselesaan dan kesihatan.

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *