MENGELAK RASA CANGGUNG !

MENGELAK RASA CANGGUNG !

Cara betul menggunakan sudu dan garpu.

Sejarah awal revolusi sudu bermula sejak zaman Mesir kuno apabila kebanyakan sudu diperbuat daripada gading gajah batu api (flint) dan papan batu (slate) yang lengkap dihiasi ukiran symbol keagamaan. Masyarakat Yunani dan Roman pula menghasilkan sudu daripada perak dan gangsa. Pada abad ke-15, bahan yang diguna untuk menghasilkan sudu mulai berubah kepada tembaga dan piuter. Kini, sudu porselin semakin diminati kerana lebih kecil dan ringan.

Garpu pula adalah perkakasan tambahan yang menglengkapkan sudu dan mempunyai dua hingga empat gigi atau cabang yang berfungsi untuk memegang, mengambil dan memindahkan makanan. Asalnya, hanya masyarakat Barat sahaja menggunakan garpu secara berpasangan dengan sudu. Bagaimanapun pada abad ke-17, keluarga diraja Timur Tengah mulai menggunakan sudu dan garpu ketika menjamu selera. Seterusnya pada abad ke-10 hingga 13, garpu mula digunakan oleh golongan bangsawan di Bizantium.

Sudu dan garpu sering digunakan sewaktu menikmati hidangan Barat, yang lazimnya menyediakan masakan daging atau ayam dalam ukuran besar dan perlu dipotong sebelum makan. Bahkan, disediakan sekali pisau hidang untuk kemudahan memotong daging dan ayam berkenaan atau makanan lain yang perlu dipotong kecil supaya mudah dimakan. Tidak cukup dengan itu, ada kalanya lebih satu jenis sudu dan garpu diletakkan di sekeliling pinggan dan ini sudah tentulah menimbulkan kekeliruan, terutama jika kita amat jarang ke majlis-majlis social yang kerap menghidangkan sajian barat.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah berkenaan dan supaya anda tidak kekok atau berasa malu menghadiri jamuan besar, eloklah mengenal pasti dahulu yang mana satu sudu makan, sudu sup, sudu pencuci mulut dan sebagainya.

Ketika berada di dalam majlis, JANGAN

  • Mengeluarkan bunyi terlalu bising ketika menggunakan sudu dan garpu.
  • Tinggalkan sudu dan garpu di dalam cawan mahupun gelas untuk mengelak gelas yang kosong terjatuh berikutan tidak mampu mengawal berikutan tidak mampu mengawal berat sudu mahupun garpu.
  • Mengacau air di dalam cawan atau gelas dengan kuat menggunakan sudu.
  • Mengelap sudu dan garpu dengan napkin. Perbuatan ini seolah-olah menghina tuan rumah melainkan betul-betul terdapat kekotoran pada peralatan berkenaan.
  • Meletak sudu dan garpu yang sudah diguna di atas meja kerana ini hanya mengotorkan alas meja.
  • Menggerakkan sudu dan garpu ke udara sewaktu bercerita sambil menikmati hidangan. Letak dahulu peralatan berkenaan di atas pinggan selepas menyuapkan makanan ke dalam mulut kemudian berceritalah.
  • Meletakkan hujung cabang garpu ke bawah selepas mengambil makanan, ditakuti makanan akan terjatuh tanpa anda sedari. Oleh itu, pastikan hujung cabang anda sentiasa ditelentangkan selagi anda tidak menyuapkan makanan itu ke dalam mulut.

NAMA DAN FUNGSI

Tahukah anda nama sudu dan garpu diberi berdasarkan jenis sajian yang dihidangkan ?

  1. Garpu koktel – kecil sedikit daripada garpu biasa yang digunakan untuk hidangan pembuka selera. Guna tangan kanan dan halakan bahagian tajam ke bawah apabila ingin menggunakannya. Selesai makan, letakkan di atas kanan piring.
  2. Garpu Ikan – kecil sedikit daripada garpu daging, tetapi mempunyai ukuran cabang serupa yang digunakan bersama-sama pisau untuk mengeluarkan dan memindahkan isi ikan ke dalam pinggan makan. Ada kalanya garpu ini digunakan juga sebagai garpu salad.
  3. Garpu Salad – bercabang panjang sedikit dan menguncup ke dalam, sesuai untuk mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipotong kecil di dalam mangkuk salad.
  4. Garpu Pastri – direka khas untuk menikmati aneka pastri. Bahagian kiri cabangnya lebar sedikit dan berfungsi sebagai pisau kecil supaya mudah memotong kek dan roti.
  5. Garpu Makan – digunakan untuk menikmati hidangan utama.
  6. Garpu Pencuci Mulut – juga dikenali sebagai garpu pudding di Britain dan mempunyai tiga cabang. Daam gaya hidang, garpu ini akan diletakkan jauh daripada garpu lain, iaitu di bahagian atas pinggan utama.
  7. Spork – gabungan sudu dan garpu yang berbentuk bulat. Seperti sudu, tetapi mempunyai gigi seperti garpu. Dikenali juga, sebagai foon, peralatan ini sering digunakan sebagai sudu ais krim dii restoran makanan segera serta sekolah di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
  8. Garpu Daging – besar sedikit daripada garpu biasa dengan cabang melengkung ke luar untuk mengambil hirisan daging.
  9. Sudu Sup – boleh didapati dalam dua bentuk, iaitu sudu untuk sup masakan Barat dan sup masakan tradisional. Ukuran sudu untuk sup masakan Barat adalah seperti sudu pencuci mulut cuma hujungnya bundar dan diperbuat daripada keluli tahan karat serta perak. Ini berbeza dengan sudu sup untuk makanan tradisional, misalnya kaum Cina diperbuat daripada seramik
  10. Sudu Nasi Bubur – lebih kecil daripada sudu sup dan hujungnya bulat. Selesai makan, letakkan di atas piring pelapik mangkuk.
  11. Sudu Pencuci Mulut – direka khas untuk menikmati aneka hidangan pencuci mulut. Ada kalanya digunakan juga untuk memakan bijirin dan sup. Ukurannya hampir sama dengan sudu sup cuma berbentuk bujur dan boleh mencedok sejumlah makanan dua kali ganda lebih banyak daripada sudu the. Sudu ini biasanya diletakkan di bahagian atas mangkuk atau piring utama.
  12. Sudu Teh – sesuai disediakan sewaktu minum petang, iaitu untuk mengacau gula dan krim dalam minuman kopi atau teh. Selesai menggunakannya hendaklah diletakkan di atas piring cawan.
  13. Sudu Kopi Expresso atau Kopi Arab – disebabkan cawan yang diguna untuk minuman ini lebih kecil maka sudunya tentulah lebih kecil daripada sudu teh. Sudu ini turut digunakan untuk mengacau buih kapucino.
  14. Sudu Teh Ais – juga dipanggil sudu soda dan mempunyai bentuk seperti sudu teh cuma tangkainya panjang dan kurus. Sudu ini diguna untuk mengacau minuman dalam gelas.
  15. Sudu Telur – berbanding sudu teh, pemegang sudu ini pendek sedikit dan hujungnya bulat untuk memudahkan proses mengeluarkan isi telur rebus daripada kulit.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *