SILING LEPA KUMAI (CANTIK DAN SIHAT)
Tidak ramai mengambil berat mengenai penataan siling dengan alasan orang tidak jalan mendongak apakala memasuki rumah. Lagipun, apakah ada siling lepa kumai jenis mesra alam yang boleh diketengahkan sebagai satu kelainan ?
Betul, kita tidak jalan mendongak, termasuk sewaktu memasuki rumah. Namun itu bukan bermakna kita tidak boleh menghias siling. Ini kerana kalau siling rumah kita rendah, dari pintu masuk sudah boleh nampak keindahan siling itu dan kalau siling tinggi pula (misalnya, double volume), tetamu yang bertandang kali pertama pasti akan mendongak juga kerana terpegun dengan suasana gah ruang dalaman.
Jadi, tidak salah memperindah siling dengan memasang lepa kumai daripada anekan pilihan corak seperti bunga, daun dan abstrak, kemudian diserikan dengan cahaya lampu sorot ke bawah, chandelier atau sebarang lampu hiasan yang eklusif. Apabila lampu dinyalakan tampil bayang-bayang menarik pada siling sekali gus menerbitkan seri ruang.
Pemasangan siling lepa kumai juga pada masa kini tidak terhad untuk rumah teres sahaja, malah boleh juga dipasang di unit kondominium yang luas. Selain memilih warna asas yang lazim diguna, iaitu putih, anda juga boleh menerapkan warna lain seperti jingga dan kuning atau jika menggunakan corak bunga berdaun maka tentulah cantic kalau diwarnakan hijau untuk daun dan merah/merah jambu/kuning/ungu untuk bunga
Antara kelebihan siling lepa kumai ialah tidak memerlukan penjagaan selepas dipasang selepas dipasang, selain dapat ‘menyembunyikan’ sebarang kecacatan siling mahupun kerangka siling yang kurang menarik.
“Pemilik rumah perlu memahami segala-galanya mengenai kemasan yang hendak dipasang, termasuk lepa kumai pada siling agar tidak tersilap dan menyesal kemudian. Ini sangat penting. Teliti setiap risalah dan seelok-eloknya lihat contoh bahan sebenar buat ukuran yang diperlukan supaya nanti siling tidak menjadi terlalu rendah setelah dipasang. Dengan banyaknya pilihan di pasaran, kita harus lebih berhati-hati memilih dan membuat keputusan, dari segi jenis bahan, rekaan dan harga,” kata Pengarah Nusantara Academy of Development, Geoculture & Ethnolinguistic (Nadge), Ar Ahmad Najib Ariffin.
Bahkan dengan adanya teknologi biologi terkini memungkinkan penghasilan siling lepa kumai berasaskan konsep hijau, iaitu Bio Ray Multiple Board oleh Ting Fung Plaster Ceiling & Interior Design. Mengandungi pelbagai sumber galian dan unsur mikro seperti kalsium, kuprum, magnesium, iodin, klorida dan zat besi, bod ini melepaskan molekul air sihat di dalam rumah yang memberi kesan bersih lagi menyegarkan. Diperbuat daripada 100 peratus bahan asli, bod berkenaan tidak mudah pecah, kalis api dan antikulat.
“Setiap bod mengeluarkan 100,000 ion melalui sinar merah jauh sekali gus membersihkan udara sehingga terasa seolah-olah ada air terjun di dalam rumah!” kata jurureka dalamannya Jason Heng.
Menurut beliau, ion negatif dan sinar bio genetic yang dilepaskan oleh bod itu juga membantu meningkatkan pengaliran darah, membuang pengumpulan toksin, meningkatkan dan menstabilkan metaolisme, membersihkan udara dan mengurangkan bahaya yang dikeluarkan oleh ketuhar gelombang mikro, gelombang elektrik dan radioaktif, secara tidak langsung melindungi dan membaiki ketahanan badan.
KELEBIHAN LAIN BIO RAY MULTIPLE BOARD ADALAH :
- Mudah dipasang – bukan sahaja mudah dipasang, bahkan mudah juga dibuka dan dipasang semula di tempat lain.
- Kitar semula – lebihan bod boleh diletakkan di dalam kereta atau stor untuk meneutralkan kuman dan menghilangkan bau kurang enak, selain dijadikan pelapik komputer dan telefon bimbit untuk mengurangkan gelombang electromagnet.
- Mengurangkan pembaziran – diperbuat dengan menggunakan teknologi bio sepenuhnya maka ini mengurangkan penggunaan bahan mentah.
- Tidak menggunakan bahan berbahaya – diperbuat daripada 100 peratus sumber galian asli, oleh itu tidak menyebarkan bahan berbahaya malah membantu meneutralkan benda asing yang terdapat dalam udara.
REKAAN TAMBAHAN YANG MENCANTIKKAN LAGI PENAMPILAN SILING
- KUBAH
– Penggunaan kubah memberi gambaran ruang tinggi di bilik kecil.
– Diperbuat daripada polester dan gentian kaca. - BIRAI HIAS
– Berasal daripada perkataan Itali, iaitu cornice yang bermaksud bata atau bingkai mengunjur.
– Ukurannya ditentukan oleh ketinggian siling dan keluasan ruang. Ikutlah nisbah sesuai agar tidak kelihatan terlalu besar atau kecil.
– Boleh ditambah ukiran gambar atau lukisan hiasan pada setiap sudut rumah di bawah siling lepa kumai - PENYANGGA (CORBEL)
– Berasal daripada perkataan Latin, corbellus yang berkaitan dengan nama corvus (burung gagak) berikutan penampilan asalnya seakan-akan paruh burung gagak.
– Seperti pendukung atau rangka yang diperbuat daripada batu, kayu dan sebagainya, penyangga dipasang di sudut tepi rumah atau dinding.
– Berfungsi untuk menyokong alang atau balok siling/bumbung dan alur yang terkeluar dari dinding ataupun dijadikan hiasan semata-mata.
– Diguna sejak zaman Neolitik.
– Hanya pada zaman awal Inggeris baru terhasil penyangga berukiran dan bangsawan Scotland yang menyukai seni bina klasik paling berminat menggunakan penyangga ini. - PANEL UTAMA/TENGAH
– Berbentuk cembung.
AMBIL PERHATIAN TERHADAP PERKARA BERIKUT SEBELUM MEMASANG SILING LEPA KUMAI
- LUAS, Ruang mestilah luas dan keluasan siling diukur mengikut dimensi dalaman bilik. Bagi ruang luas seperti ruang tamu dan ruang makan boleh menggunakan siling lepa kumai yang rendah.
- BEBAS, Pastikan kawasan sekeliling siling bukan laluan paip air. Ini kerana paip air yang bocor akan menitis ke dalam siling lepa kumai dan akhirnya boleh menyebabkan siling runtuh!
- LELANGIT TINGGI, Siling lepa kumai yang memerlukan pemasangan rangka lebih sesuai untuk rumah yang mempunyai lelangit setinggi sekurang-kurangnya tiga meter. Jika kurang, guna jenis tampalan agar siling tidak terlalu rendah.
- SEMPADAN KAYU/BIRAI, Pasang panel sempadan kayu (skirting) atau birai (cornice) di tempat pertemuan siling dengan dinding untuk membangkitkan suasana ‘mewah’, selain untuk ‘menutup’ garis pertemuan dinding dan siling yang tidak lurus.
- CORAK, Anda boleh memilih untuk menggunakan lebih daripada satu corak asalkan saling serasi dan harmoni.
- PAKAR, Sekiranya menghadapi masalah memilih siling lepa kumai yang sesuai, rujuklah kepada kontraktor atau syarikat pembekal. Reka bentuk bahan buatan dan harga boleh dibincangkan dengan mereka yang pakar.