8 PERKARA YANG TIDAK BOLEH DILAKUKAN
- JANGAN MENGECAT DAHULU. Anda boleh membeli sebarang warna malah boleh mencampurkan cat mengikut apa sahaja warna yang dikehendaki. Jesteru itu, pilih fabrik, permaidani dan sarung kusyen dahulu. Perlu diingatkan bahawa kepingan kecil contoh cat yang lazim diberikan oleh jurujual akan Nampak cantik di bawah cahaya lampu kalimantang di dalam kedai, tetapi apabila warna itu disapu pada dinding di rumah kesannya munkin mengecewakan anda. Oleh itu, beli satu tin kecil cat dan sapu di bahagian kecil dahulu untuk melihat persembahan warna itu di dalam ruang yang menerima pencahayaan semula jadi. Sekiranya tidak mahu mengotorkan dinding dengan ujian itu, anda boleh menyapunya di atas kadbod dan lekatkan pada dinding bilik yang dicadangakan.
- JANGAN TERUS MEMBELI. Kunjungan pertama ke kedai hiasan dalaman sepatutnya sekadar mengumpul maklumat dan membayangkan bagaimana produk yang ditawarkan di kedai itu dapat menhiasi rumah anda. Kalau boleh minta kepada jurujual atau tauke kedai contoh bahan yang hendak dibeli supaya dapat dibawa pulang bagi melihat kesannya di rumah.
- JANGAN SEKALI-KALI ABAIKAN TITIK TUMPU. Tidak semua ruang perlu mempunyai titik tumpu. Pelbagai cara boleh dibuat untuk menghasilkan titik tumpu, sama ada menerusi kemasan kelengkapan mahupun perhiasan.
- JANGAN SUSUN SEMUA PERABOT RAPAT KE DINDING kecuali jika anda tidak ada pilihan seperti ruang sempit. Seelok-eloknya atur kedudukan perabot mengikut fungsinya seperti set sofa untuk bersembang disusun mengelilingi meja kopi yang diserikan dengan perhiasan.
- JANGAN MENGHALANG LALUAN. Meletak kerusi di hadapan pintu atau meja di kawasan laluan tidak sesuai sama sekali. Dalam mengatur perabot dan mengisi ruang dengan kelengkapan dan perhiasan, fikirkan kelancaran pergerakan. Jangan ghairah membeli dan menambah sehingga rumah jadi macam ruang pameran yang menyesakkan.
- JANGAN MEMBELI PERABOT KERANA HARGA SEMATA-MATA. Orang tua mengigatkan, alah membeli menang memakai. Oleh itu, biarlah barang yang dibeli mahal sedikit asalkan boleh diguna bertahun-tahun. Bagaimanapun, harga bukanlah penentu mutlak pembelian perabot sebaliknya lihatlah kepada mutu buatan dan reka bentuknya. Kalau ketiga-tiga unsur ini – buatan baik, rekaan menarik dan harga sepadan rupa – ada pada perabot pilihan anda maka janganlah berlengah lagi untuk membeli. Faktor harga jatuh yang terakhir dalam senarai keutamaan memilih perabot. Yang penting sekali ialah mutu buatan diikuti rupa dan akhirnya barulah harga. Disarankan supaya tidak membeli perabot yang mengikut aliran semasa kerana aliran datang dan pergi melainkan anda memang kaya dan tidak tahu apa lagi yang boleh dibeli dengan wang berjuta-juta. Adakah and ingin berbelanja pada sesuatu yang mahal, tetapi tidak kekal lama? Pastikan juga perabot yang dibeli ada kegunaannya jangan membeli semata-mata kerana tertarik kepada rupa dan kebetulan harganya pula murah sedangkan di rumah sudah tidak ada tempat lagi di mana hendak meletak perabot itu.
- JANGAN SIMPAN BARANGAN. Kalau sudah jemu dengan mana-mana kelengkapan atau perhiasan, tidak payahlah terus mengguna atau menyimpannya. Begitu juga kalau mewarisi barangan yang didapati tidak selari dengan cita rasa anda atau tidak padan dengan gaya hiasan rumah anda maka carilah jalan untuk tidak menggunakannya. Jangan kedekut. Anda boleh menyedekahkannya kepada sanak saudara, jiran dan rakan atau menjualnya pada harga murah. Bagaimanapun, membuangnya adalah tindakan paling kejam. Ini kerana barangan yang buruk pada pandangan anda munkin elok pada mata orang lain.
- JANGAN PAMER SETIAP HIMPUNAN PERIBADI. Tidak semestinya semua perhiasan, terutama himpunan peribadi anda perlu diketengahkan dengan meletakkannya di ruang tamu sahaja. Jika ini berlaku dikhuatiri ruang tamu anda akan kelihatan semak dan padat! Masalah ini boleh diatasi dengan mengagih-agihkan kedudukan barangan itu di setiap ruang dalaman rumah. Cara ini membuktikan sikap anda yang menghargai setiap barangan dan menganggap kehadirannya begitu pentinG. Bahkan and boleh mengalih perhiasan ini dari semasa ke samasa bagi mengelak jemu dan paling penting dapat membersihkan habuk. Selain itu, tetamu yang tidak pernah melihat sesuatu perhiasan itu kerana sebelum ini diletakkan di ruang tersorok atau kurang dikunjungi akan menyangkanya barangan baru.