Ruang Dapur Berpulau

ruang dapur

Memasang  cabinet di ruang dapur adalah satu pelaburan. Perbelanjaan untuk menyediakannya bukan sedikit. Buatlah pilihan yang tepat kerana pembinaanya tidak boleh diubah dalam tempoh semalaman atau setiap bulan sekalipun anda seorang kaya yang mempunyai wang berjuta-juta. Oleh itu, jika anda sedang berkira-kira mahu memasang cabinet daput di rumah baru atau menggantikan yang sudah lama, kami ingin mencadangkan unit berpulau sebagai pembaharuan. Kalau selama ini kita selesa dengan cabinet bentuk lurus, L atau U, gaya pulau pastinya menampilkan kelainan di ruang dapur anda.

 

Sama ada kawasan dapur sempit atau luas, ruang kerja mesti diwujudkan untuk memudahkan tugas penyediaan makanan. Namun ramai yang mengambil jalan mudah memotong sayur dan bawang di tepi sink, tetapi bagaimana pula jika hendak menguli tepung? Sebab itulah pilihan cabinet berpulau adalah langkah terbaik kerana pembinaannya bukan sahaja menawarkan ruang penyimpanan yang lebih banyak, dan pada masa sama menjimatkan ruang, malah mewujudkan suasana lebih bergaya. Ini kerana unit pulau yang diwujudkan itu boleh menjadi tempat menyediakan bahan masakan, menyiapkan kerja pejabat sementara menanak nasi dan menikmati hidangan. Muka surat 48 hingga 62 memaparkan 9 reka bentuk ruang dapur berpulau untuk pilihan anda.

 

CORAT CORET

  1. Jangan kedekut membeli set pinggan mangkuk corak terkini. Jika kekurangan tempat menyimpan, keluarkan sahaja set pinggan mangkuk yang terperap lama di dalam almari hiasan di ruang dapur kering untuk keguanaan harian. Ataupun lakukan kerja amal dengan menyedekahkan pinggan mangkuk yang lama kepada golongan susah dan memerlukan.

 

  1. Jangan membeli terlalu banyak perkakas elektrik kerana ini boleh membahayakan apabila wayar berselirat dan penggunaan tenaga berlebihan. Bertindak bijak dengan membeli barangan yang boleh dipelbagaikan keguanaannya seperti perikuk masak dwifungsi untuk menanak nasi dan sup, ketuhar untuk memanaskan makanan dan memanggang serta termos untuk memasak dan menyimpan air panas.

 

  1. Jangan sewenang-wenang menukar perkakas berukuran kecil kepada yang besar di ruang dapur sempit. Contohnya peti sejuk berpintu satu biarpun kecil, masih mampu menyimpan banyak barang jika disusun dengan betul dan kemas. Begitu juga bakul sampah tidak perlu ditukar kepada ukuran besar kerana sampah boleh dibuang setiap hari.

 

  1. Selain bergantung kepada gambar daripada majalah, risalah dan internet untuk mendapatkan rekaan terkini cabinet dapur sebelum menetapkan pilihan reka bentuk yang diingini, berkunjunglah ke mana-mana ruang pameran dan dapatkan pandangan daripada pereka.

 

  1. Bagi memastikan ruang dapur sentiasa nampak baru dan berseri, pilih cabinet bod atau kayu padu yang disapu penyudah kemasan jenis berkilat (high gloss). Harganya memang mahal dan seandainya tidak mampu memiliki set lengkap, memadai menempatkan cabinet unit gantung sahaja.

 

  1. Susun dan atur atau gantung perkakas di ruang dapur dengan teliti bagi melancarkan pergerakan dan menjimatkan masa. Misalnya, gantung atau simpan periuk, kuali, sudip dan senduk berhampiran dapur masak. Mangkuk tanah liat berukuran besar yang sesekali digunakan untuk mengadun doh biskut bolehlah disimpan di dalam cabinet unit dasar.

 

  1. Ketinggian dapur masak sepatutnya lebih rendah daripada permukaan meja kerja dan kelengakapan di sekelilingnya bagi mengelak percikan minyak panas dan tumpahan air.

 

  1. Binaan cabinet dapur berpulau yang dilengkai tungku, paling praktikal untuk mereka yang tidak betah duduk di satu-satu tempat sewaktu memasak. Begitu pun ia perlu dilengkapi dengan ruang penyimpanan untuk memudahkan anda menyimpan peralatan emmasak seperti kuali dan periuk.

 

  1. Jaga alam sekitar dnegan membahagikan sampah mengikut jenis dan asingkan dalam bekas berbeza supaya mudah dikitar semula. Sorok tong sampah (berukuran kecil) dalamunit dasar iaitu di bawah sink. Sebaik-baiknya lengkapi cabinet unit dasar berpintu dengan tong sampat gantung supaya ia terkeluar apabila pintu dibuka.

 

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *