MEMBELI PERABOT
Kerja pengubahsuaian sudah pun siap, langkah seterusnya ialah melengkapi rumah dengan perabot. Bagaimana dan di mana hendk memulakannya?
- Langkah paling penting sebelum ke kedai perabot ialah mengambil ukuran bilik dan ruang yang hendak diisikan dengan perabot. Laburlah sedikit wang dengan membeli perisian yang dapat membantu anda memilih reka bentuk ruang atau lakar sendiri di atas kertas menggunakan pensel kerana dari sini barulah anda boleh memutuskan jenis, ukuran dan rupa perabot yang sesuai.
- Jika ingin mengekalkan perabot sedia ada, fikirkan mengenai perancangan susun atur. Selepas menentukan kedudukan perabot dan jika masih ada sampingan. Kalau ingin membeli perabot baru, tetapkan dulu peruntukan dan berbelanjalah mengikut kemampuan, bukannya terpengaruh dengan apa yang jiran anda miliki.
- Apabila membuat keputusan mengenai jenis perabot yang hendak diguna, fikirkan mengenai gaya hidup anda dengan bertanyakan soalan-soalan ini. Adakah anda mempunyai binatang peliharaan berkuku tajam seperti kucing? Adakah anda lebih selesa dengan sofa fabrik atau kulit? Perlu diingat, perabot kulit tidak begitu sesuai untuk kawasan berudara panas.
- Buat senarai kelengkapan dan perhiasan yang hendak dibeli. Pada masa yang sama pertimbangkan mengenai ukuran, kesesuaian, warna dan cirri mengikut kegemaran anda. Jangan lupa membawa senarai ini sewaktu ke ruang pameran perabot kerana tanpa cacatan itu, percayalah anda akan terlupa sebaik sahaja memasuki kedai dan akhirnya membeli barangan yang tidak ada dalam senarai!
- Pilih perabot bermutu tinggi dengan reka bentuk yang tidak ditelan zaman, lebih-lebih lagi jika kewangan anda terhad. Melainkan kalau wang anda berlebih-lebihan maka bolehlah membeli perabot yang digemari ramai waktu itu supaya apabila sudah outdated, boleh tukar yang baru. Perlu diingat bahawa membeli perabot adalah satu pelaburan, jadi pilihlah yang sesuai diguna untuk jangka masa panjang dan warna serta coraknya mudah dipadankan dengan suasana ruang. Anda juga boleh mengubah penambilan ruang dengan menukar barangan hiasan seperti kusyen, lukisan dan bekas bunga.
- Sebaik menemui perabot yang disukai, periksa mutu buatan. Jika hendak membeli sofa katil, cuba duduk dan baring di atasnya bagi memastikan spring dan jahitan sarungnya kukuh serta tidak mudah terjejas.
- Sebelum membeli perabot baru, kosongkan dahulu ruang terbabit supaya mudah untuk meletakkan kelengkapan yang dibeli.
- Sewaktu menghias, tentukan dahulu gaya yang hendak diketengahkan, sama ada moden, uptown urban, kedesaan , tradisional, peralihan atau eksotik.
Uptown Urban – untuk golongan professional muda di bandar. Katil mereka lazimnya jenis berpelantar dilengkapi panel bod (headboard) di dinding. Reka bentuk perabot yang lain juga lebih ringkas dan padu tetapi ada seni tersendiri.
Kedesaan – terkenal dengan warna putih dan off-white. Perabotnya mengutamakan bahan berunsur kayu dan anyaman, selain menyelitkan penegasan, corak bunga daun dan kemasan logam.
Tadisional – menggunakan campuran pelbagai bahan semula jadi seperti kulit, kayu dan batu-batuan, termasuk marmar dan ukiran untuk menampakkan ciri penegasan.
Eksotik – menerima pengaruh perabot luar yang menyerlahkan unsur budaya negara tertentu. Antaranya, India Barat yang mengetengahkan kemasan mahogani, batu dan rotan; Sahara menyelitkan motif kanopi, daun palma dan batu pasir manakala Caribbean memasukkan unsur tumbuh-tumbuhan seperti rumput dan sabut. Pengaruh Afrika pula berwarna garang, menggambungkan kemasan batu dan marmar. Gaya Mesir dan Amerika pula dipengaruhi corak ambal, penegasan biru firus, potret buatan tangan dan batu berharga. Penggunaan tiang kayu kasar turut menampakkan kesan eksotik.