Ruang Dwifungsi – 15 Langkah Boleh Dikuti

ruang dwifungsi

Tidak semua berkemampuan memiliki kediaman yang menawarkan ruang atau bilik  yang mempunyai fungsi tersendiri. Lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di rumah jenis teres dan pangsapuri yang rata-rata sekadar menyediakan tiga bilik tidur, ruang dapur dan ruang tamu yang disekalikan dengan ruang makan. Justeru itu, keadaan ini memaksa penghuninya mewujudkan ruang pelbagai fungsi, contohnya ruang tamu juga berfungsi sebagai ruang menonton dan di situ juga tempat sekeluarga berkumpul dan beristirahat.

Adalah menjadi kebiasaan juga bilik tidur juga menjadi tempat belajar atau membaca, di samping menjadi ruang bekerja atau membereskan kerja pejabat. Bagi yang kurang selesa menulis, membaca atau bekerja di dalam bilik tidur, boleh memilih salah satu sudut di dalam rumah seperti ruang tamu atau ruang keluarga untuk melakukan kegiatan berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum memilihh, sebaik-baiknya anda memikirkan mengenai kesesuaian bidang kerja dan fungsi asal ruang terbabit. Misalnya, tidak wajar menempatkan mesin jahit di dalam bilik tidur utama atau bilik tidur anak kerana bunyi mesin jahit akan mengganggu tidur suami atau anak jika kegiatan menjahit dilakukan lewat malam.

Sehubungan dengan itu, sebelum mewujudkan ruang dwifungsi, perlulah difikirkan kesesuaiannya demi keselesaan seisi ahli keluarga. Berikut disenaraikan 15 panduan untuk mewujudkan ruang dwifungsi :

  1. Fikirkan mengenai jenis kegiatan ruang terbabit. Pastikan kedua-dua kegiatan berkenaan tidak bercanggah antara satu sama lain, misalnya ruang menonton untuk seisi keluarga tidak wajar disekalikan dengan tempat belajar. Ini kerana kegiatan menonton sudah pastilah mengganggu proses pembelajaran.
  2. Ada yang lumrah ialah ruang tamu disatukan dengan ruang menonton. Ini membabitkan ruang tamu tidak rasmi yang mana tetamu datang sekadar untuk menziarah dan berbual kosong. Seandainya ruang tamu adalah untuk kegunaan rasmi seperti berbincang mengenai perkara membabitkan urusan kerja atau perniagaan, tidak wajar disekalikan dengan tempat menonton.
  3. Seaindainya ruang tamu dijadikan tempat menonton dan beristirahat, peralatan yang sesuai digunakan ialah tempat duduk berupa sofa atau kerusi jenis yang selesa diduduki, disusun menghadap kabinet televisyen yang diletak rapat di sisi atau sudut dinding. Jika ruang berkeluasan terhad, tempatkan sofa di dinding, sebaiknya jika ruang luas, tempat duduk berkenaan boleh diletak di tengah-tengah ruang.
  4. Jika tidak kisah tetamu berkunjung lama, sediakan tempat duduk yang selesa di ruang tamu, tetapi jika anda seorang yang sibuk dan boleh menerima tetamu dalam jangka masa yang terhad, tidak perlu sediakan kerusi yang selesa. Memadai menggunakan kerusi jenis upholsteri atau kerusi kayu.
  5. Proses pembelajaran memerlukan tumpuan 100 peratus, justeru itu jika kegiatan itu hendak dilakukan di ruang tamu, pastikan rumah anda jarang menerima kunjungan tetamu. Sudut belajar boleh ditempatkan di tepi atau hujung ruang tamu. Keseluruhan ruang bolehlah disusun dengan gaya ruang tamu. Selain meja khusus untuk menulis dan membaca, boleh juga guna meja konsol tiga laci dan kerusi uphholsteri sebagai tempat mengulang kaji pelajaran.
  6. Jenis meja tulis atau kerja yang bersekali ruang penyimpanan bertutup sesuai diguna di ruang tamu. Segala peralatan belajar boleh disimpan dengan kemas di dalam ruang penyimpanan apabila tidak diguna sekaligus menjadikan ruang tamu bersih dan kemas. Jika ruang tamu disekalikan dengan sudut belajar, elak meletak unsur yang mengganggu tumpuan seperti televisyen. Bagaimanapun, peralatan audio boleh diletak kerana sesetengah individu selesa belajar sambil diiring bunyi muzik-muzik yang digemari.
  7. Meja makan rasmi yang hanya digunakan sekali sekala, boleh dijadikan meja tulis, justeru itu tidak perlu menyediakan meja lain untuk menulis seandainya tidak mampu membentuk ruang belajar. Sebaiknya jika berkemampuan dan ada ruang lebih, menyediakan meja khusus untuk belajar di tempat yang sesuai adalah yang sebaiknya untuk keselesaan pengguna.
  8. Tidak salah menempatkan televisyen di sekitar ruang makan. Bagi mereka yang kesuntukan masa untuk menonton, sekurang-kurangnya dapat meluangkan sedikit masa menatap televisyen sewaktu menikmati hidangan. Tempatkan kabinet televisyen di sudut yang sesuai.
  9. Ruang keluarga dan menonton – ini adalah lumrah. Di mana-mana pun, ruang keluarga selalunya diiringi alat pandang-dengar kerana di sinilah tempat seisi keluarga bersantai sambil menonton. Kedudukan kabinet televisyen haruslah ditempatkan membelakangi pancaran cahaya matahari manakala sofa atau kerusi empuk disusun menghadap televisyen.
  10. Jika anak memilih untuk belajar di ruang keluarga, maka tempatkan meja yang sesuai untuk kegunaannya dan peralatan menonton hendaklah diletak di ruang tamu atau di dalam bilik tidur.
  11. Jika ada ruang, boleh sediakan meja khusus untuk menulis atau meja komputer di dalam bilik tidur. Yang menimbulkan masalah ialah apabila bilik berkenaan tidak mempunyai ruang untuk menempatkan meja. Dalam kes seperti ini, anda boleh sediakan meja tulis siap dipasang atau guna meja solek dwifungsi iaitu juga boleh diguna untuk menulis.
  12. Bilik tidur bersekali tempat bersenam – letak peralatan bersenam di kawasan kosong dalam bilik. Bagi menampakkan suasana menarik, pasang cermin pada dinding ruang yang menempatkan peralatan senaman. Selain menampakkan suasana luas serta ilusi, anda boleh bersenam sambil melihat aksi sendiri di dalam cermin.
  13. Ruang dapur bersama ruang makan – tidak kira sama ada ruang dapur besar atau kecil, ruang itu boleh menempatkan meja makan. Sesuaikan ukuran meja dengan keluasan ruang dapur. Meja kecil yang ditempatkan di ruang dapur basah atau kering, boleh dijadikan tempat makan harian. Namun jika ruang dapur kering berkeadaan luas dan bersih dengan kabinet siap dipasang bergaya mewah, ruang ini boleh juga dijadikan tempat makan rasmi. Sesuaikan kerusi dan meja dengan tema ruang yang hendak ditonjolkan, misalnya jika menggunakan dapur berciri moden, pilih set meja makan bergaya moden juga. Meja dan kerusi boleh diletak jauh sedikit daripada dapur masak dan sinki. Pastikan kedudukan meja tidak mengganggu pergerakan di ruang dapur.
  14. Bilik tidur anak dan tempat bermain – pastikan ukuran bilik cukup luas untuk mewujudkan sudut bermain dan lengkapkan sudut itu dengan rak atau almari. Penggunaan rak terbuka sesuai untuk anak yang berumur lima tahun ke atas kerana mereka sudah pandai menyusun atur barangan. Sebaliknya jika anak masih kecil dan berusia kurang daripada tiga tahun, sediakan bakul untuk memudahkan kanak-kanak memasukkan barangannya selepas bermain. Pastikan tiada benda tajam di sekitar bilik ini dan pilih perabot jenis tidak berbucu tajam dank eras.
  15. Bilik tidur utama bersekali bilik bayi – amalan tidur bersama bayi dalam satu bilik juga adalah perkara biasa. Untuk keselesaan si ibu tidur dan keselamatan bayi, sediakan katil berpengadang untuk bayi. Tempatkan katil bayi tidak jauh daripada kedudukan ibu dan sediakan meja atau almari yang sesuai untuk kegunaan dan menyimpan peralatan bayi.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *