Pilihan Langsir

pilihan langsir

PILIHAN LANGSIR

Umumnya, menukar langsir bagi sesetengah orang menjadi satu kebiasaan, apatah lagi menjelang Hari Raya Puasa. Kebetulan rekaan langsir yang beraneka bentuk dan coraknya yang sentiasa saja bertukar ganti, menarik perhatian suri untuk menggantikan langsir lama. 

 

Yang penting kain pilihan hendaklah selaras dengan bentuk tingkap supaya  langsir dan jendela  saling berpadanan. Menurut pemilik Janine Sdn Bhd, Datin Gaik Merican, setiap individu perlu mengetahui bentuk tingkap mereka sebelum memilih rekaan langsir tertentu.

“Kami sedia memberi khidmat nasihat diperlukan, di samping menerima tempahan untuk rekaan langsir yang diingini, menggunakan fabrik yang disediakan di Janine,” katanya.

Bentuk Tingkap

Bentuk tingkap yang lazim dipasang ialah casement (boleh dibuka ke luar atau ke dalam), sorong dan bay (tingkap bersegi yang dibina pada bilik mengunjur). Bagi tingkap casement, dinasihatkan supaya memasang langsir yang dijahit ringkas tanpa ropolan atau kedutan. Pilihan rekaan langsir lebih muda bagi tingkap sorong kerana ruang bukannya yang luas dan lebar. Pemasangan pelmet (papan yang melindungi besi dan pencangkuk langsir) dan birai hias boleh dilakukan jika tingkap sorong mempunyai lebihan ruang di bahagian atas. Tingkap bay pula memberi peluang penghuni menghiasinya secara keseluruhan dan untuk menambah kemasan tingkap, pasangkan pelmet mengikut bentuk tingkap.

Jenis Langsir

Sebagaimana perkembangan fesyen pakaian, rekaan langsir turut berubah mengikut peredaran masa. Langsir potongan lurus, berbiku, berombak, berkedut dan menyerong sentiasa menjadi pilihan kebanyakan wanita. Bahkan, sejak lima tahun lalu, fesyen langsir berkedut dan beropol di tepi yang menggabungkan kain bercorak serta polos digemari ramai.

Potongan langsir lain yang menjadi tarikan ialah tie scarlet yang berkedut di atas dan bawahnya berbentuk seperti tali leher serta gaya klasik, juga berkedut di atas tetapi diserikan dengan renda. Di samping itu disediakan rekaan scallop classic, pencil plite dan scallop pencil plite.

Bagi langsir potongan scallop, kain satin amat sesuai digunakan manakala untuk ruang dapur, kain scotchguard adalah pilihan tepat kerana ketebalan dan ketahanannya. Bagi rumah kecil, langsir berpotongan ringkas membolehkan ruang yang sempit kelihatan selesa dan luas. Rumah besar atau banglo pula boleh dipasangkan langsir scallop, sama ada rekaan classic ataupun tie.

Di ruang dapur dan bilik tidur, bentuk potongannya perlu dibezakan dengan langsir di ruang tamu. Langsir di ruang dapur biasanya lebih ringkas dan tidak terlalu ‘mewah’ dengan kedutan. Untuk ini, kebanyakan suri rumah lebih sukakan potongan bidai Australia. Di bilik tidur kanak-kanak pula sesuai dipasangkan langsir yang seragam dengan warna cadar. Untuk kelihatan lebih menarik, boleh diikatkan riben pada langsir berkenaan.

Potongan langsir yang ringkas tetapi menggunakan warna lembut sangat sesuai dipasang di bilik tidur utama kerana ia dapat menimbulkan suasana romantik.

Bagi yang kurang berkemampuan, mereka boleh memperbaharui langsir lama dengan menambahkan hiasan riben atau renda. Kaedah ini menjimatkan kerana mereka tidka perlu membeli keseluruhan fabrik untuk langsir.

Jenis Fabrik

Lazimnya, fabrik yang menjadi pilihan utama ialah 100 peratus kapas atau campuran kapas dan polyester, renda atau satin bidang besar supaya mudah dijahit, senang dijaga dan tahan lama. Kini ramai gemar menggunakan fabrik scotchguard yang diselaputi bahan kalis air.

Panduan Memilih Langsir

  • Sekiranya membeli langsir siap diguna, sebaiknya pilih ukuran yang mencecah sehingga ke lantai.
  • Mereka yang gemarkan penampilan moden atau semasa boleh menggunakan langsir tidak berjahit dan digantungkan pada batang besi atau kayu.
  • Ketinggian tingkap dapat ditonjolkan dengan memasang pelmet dan anda boleh menggunalan langsir siap guna.
  • Tidak salah menggabungkan rekaan langsir moden dan tradisional, misalnya pelindung 2000 PVC yang dilitupi bidai kaca gentian. Sebenarnya pelindung 2000 PVC itu dapat menghalang 70 peratus kemasukan pancaran cahaya matahari.
  • Padankan fabrik dan kertas dinding bagi mengatasi pemandangan kurang menarik di sesuatu ruang, selain dapat menonjolkan seri tingkap.
  • Jika anda memerlukan kemasukan cahaya semulajadi, tetapi pada masa sama inginkan suasana bersendirian, pilih rekaan langsir kedai kopi yang tidak perlu dibuka atau ditutup kerana ia tidak menutup keseluruhan tingkap.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *