MEMBENTUK BILIK TIDUR BAYI

Sewaktu menghias bilik tidur bayi, anda disarankan supaya berfikir panjang. Tanya diri adakah bilik yang sama akan digunakan dalam tempoh yang lama ataupun akan dikekalkan sebagai bilik tidur bayi.

Jika itu adalah anak pertama memang wajar bilik tidur berkenaan dikhususkan untuknya. Tetapi jika bilangan keluarga semakin bertambah, fungsi bilik tidur bayi perlu dinkirkan semula.

Mengenai pemilihan warna pula, anda disarankan mengguna warna kuning sebagai tona utama kerana warna itu selamat untuk diguna pakai oleh kedua-dua jantina bayi. Cuma bezakan suasananya dari segi hiasan tambahan sahaja.

Bagi yang baru melahirkan, anda akan menghabiskan banyak masa di bilik bayi. Oleh itu, senaraikan apa juga kegiatan yang bakal dilakukan di situ supaya dapat ditempatkan perabot dan kelengkapan yang diperlukan. Selain tidur, menukar lampin dan pakaian, bilik itu juga menjadi tempat bayi mengenali dunia, justeru itu lengkapi bilik berkenaan dengan ruang penyimpanan, pencahayaan yang mencukupi dan jangan lupa untuk pastikan kemasan lantai bersesuaian.

Sebaik-baiknya pastikan kedudukan bilik bayi berhampiran bilik utama supaya anda tidak tergesa-gesa jika bayi menangis dan mengganggu tidur ahli keluarga yang lain.

Antara kelengkapan dan perhiasan tambahan sebagai peneman bilik tidur bayi selain katil dan almari pakaian, adalah gebar selesa, patung lembut, lampu berterendak, rak pakaian, buku cerita, peti mainan, jam, bingkai bergambar, lukisan berbingkai, kerusi goyang, meja dan kerusi kanak-kanak serta tong sampah.

Memang terdapat banyak gaya di pasaran yang anda boleh tiru. Berikut disenaraikan sebahagian daripadanya.

Kedesaan atau Tradisional

Pemandangan ladang atau kanak-kanak sedang bermain yang diterjemahkan melalui cadar sulam tampal berjahit quilt, kertas dinding, ambal, perabot kayu berlukisan tangan atau bercat putih dan lampu berterendak.

Ultra Moden

Penggunaan cadar, sarung bantal dan langsir menonjolkan motif ringkas seperti garisan dan warna putih serta krim. Hiasi dinding dengan bingkai gambar hitam putih. Kertas dindingnya juga bercorak ringkas atau polos.

Antik 

Gaya ini memerlukan anda cenderung kepada hiasan dalaman bertema yang diambil daripada era tertentu seperti kolonial, kedesaan atau Victoria. Tempatkan perabot seperti katil, kerusi dan kabinet lama. Perhiasannya pula terdiri daripada gambar antik, lampu lantai, lampu berterendak serta pemasangan kertas dinding.

Bertema 

Seperti suasana di tepi laut. Hiasi sudut bilik tidur dengan baldi bersama penyodok plastik. Tampal bahagian kaki dinding dengan kertas sempadan bercorak ikan atau hidupan laut. Sisipkan unsur hidupan laut seperti kulit siput dan cangkerang dengan melekatkan ia kepada terendak lampu meja. Pilih fabrik bercorak suasana pantai atau warna lembut.

Fantasi 

Mengundang suasana baru dan berlainan kerana hiasan biliknya mengikut imaginasi ibu atau bapa ataupun digarap daripada kisah dongeng. Katil bayi misalnya dihiasi kelambu fabrik dan reben. Unsur praktikal mungkin langsung tidak ada dalam penataan ini.

Langkah seterusnya adalah bagaimana hendak mempamerkan gaya ini. Bagi membantu anda, kami senaraikan beberapa petua dan panduan.

  • Keselesaan adalah kunci utama, elakkan daripada menghias secara berlebihan.
  • Guna kertas dinding yang boleh dibasuh ataupun suai padankan kertas dinding dengan cat.
  • Cuba mengecat permukaan dinding, siling dan lantai secara kreatif. Karakter dalam buku cerita juga boleh dijadikan motif lukisan.
  • Luahkan gaya pilihan menerusi langsir kerana ia boleh ditukar ganti.
  • Hiasi siling dengan kertas dinding bercorak langit atau cakerawala yang mampu menghasilkan kesan khayalan.
  • Rak buku, meja, kerusi dan peti mainan juga antara perabot tambahan yang sesuai diletak dalam bilik tidur bayi selain katil serta almari pakaian.
  • Lebih jimat jika membeli fabrik dan menjahit sendiri langsir. Memadai dengan langsir gaya ringkas sahaja. Jika ingin suasana nampak lebih anggun, beli fabrik dalam jumlah yang banyak dan biarkan labuhnya mencecah lantai. Pasang langsir kedua untuk gelapkan bilik tidur.
  • Biarkan dinding dan langsir mereka berwarna putih. Perkenalkan warna dan tema pada hiasan tambahan seperti kusyen lantai dan permainan mereka.
  • Kalau anda masih menyimpan perabot lama peninggalan keluarga, tidak mengapa untuk mencampurkan barangan itu dengan gaya sedia ada di bilik tidur. Begitu juga dengan permainan lama, jika keadaannya masih baik, ia boleh dipamerkan sebagai hiasan atau dicampur bersama yang baru.
  • Bingkaikan poskad lama atau baru yang ada kaitan dengan gaya yang hendak diwujudkan.
  • Gantungan pakaian bayi atau kanak-kanak lama dalam bingkai juga menarik sebagai perhiasan.
  • Jika ingin kekalkan bilik tidur sebagai bilik bayi, sebaiknya melaburlah sedikit dengan membeli barangan bermutu dan tahan lasak. Pilih gaya semasa kerana ia sesuai untuk bayi lelaki mahupun perempuan selain sedap mata memandang.
  • Seandainya bilik ini dihuni oleh anak yang sama untuk beberapa tahun lagi, pastikan gaya yang dipilih boleh digunakan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam tahun mendatang.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *