Keselesaan Berkusyen

SEBELUM set sofa, sama ada daripada fabrik atau kulit diperkenalkan sekitar abad ke-16, yang memberikan sepenuh keselesaan sewaktu duduk dan bersandar, kusyen yang dihias indah memainkan peranan penting. Ia menjadi pengalas kerusi bagi mewujudkan tempat duduk yang lebih lembut. Di kebanyakan rumah, kusyen bertali diikat pada bangku di dapur dan ruang makan. Waktu itu juga, sarung bersulam dianggap paling indah dan salah satu corak amat digemari ialah crewel. Ada juga kusyen yang dibalutkan dengan kain baldu dan sutera berwarna-warni.
Sejarah berulang dan penggunaan kusyen terus digunakan sehingga sekarang, tetapi kali ini fungsinya lebih sebagai hiasan sampingan. Corak tradisional juga mendapat perhatian generasi moden.
Sementara kusyen kecil disusun atas sofa sebagai tempat penyandar atau dipangku, kusyen besar biasanya diletak atas lantai bagi kemudahan bersantai. Kebanyakan memilih untuk menghiasinya di ruang tamu atau ruang rehat keluarga. Ada juga yang menjadikan kusyen sebagai penghias katil.
Kusyen kecil mampu menjadi daya penarik jika kena gaya susunannya. Pemilihan corak, warna dan jenis kain yang sesuai untuk sarungnya juga penting bagi menyemarakkan suasana. Kain linen dan chintz (sejenis kain kapas) bercorak garisan atau bentuk potongan berlian dikatakan mampu melahirkan suasana menawan manakala penggunaan chintz dan satin polos pula banyak memberikan kesan eksklusif. Kebanyakan fabrik hiasan dan pakaian juga sesuai dijadikan sarung kusyen yang akan menghiasi lantai, tetapi jika untuk mengalas kerusi, sebaiknya gunakan kain kapas atau linen yang ditenun rapat.
Selain bercorak sulam, sarung kusyen yang dihasilkan daripada teknik cantuman perca kain, tampalan, quilt, stensil dan lukisan juga kian digemari. Di samping itu, kemasan terakhir turut mempengaruhi rupa bentuk kusyen menerusi jahitan kun alur sewarna sarung atau berlainan warna, ropolan dan lipatan. Tidak kurang menarik seperti hiasan rumbai, renda dan tali pintal.
Penghasilan kusyen bermula daripada pemilihan bentuk dan ketebalannya. Ini penting jika ia digunakan sebagai pengalas bangku di dinding tingkap atau kerusi. Bagaimanapun, kusyen yang digunakan sebagai hiasan, boleh dipilih daripada pelbagai ukuran dan bentuk yang banyak terdapat di pasaran.
Biasanya, bantal kusyen menggunakan kain kapas berkilat dan licin, kain belacu (kain putih kasar) atau kain mori halus serta nipis, bergantung kepada isi kusyen yang digunakan.
Mengenai isinya, bulu sudah lam menjadi bahan yang paling popular dan penggunaannya dianggap elit kerana harganya yang mahal, memberi kelembutan maksimum serta memantul. Kekabu pula mewujudkan keaadaan yang tidak rata dan berketul. Keistimewaan lapisan polyester ringan ialah boleh dibasuh. Penggunaan span seeloknya dielakkan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *