Sounds so easy, menghias dalam 7 hari tidak semudah difikir kerana banyak perkara perlu direnung dan diteliti supaya ruang yang dihias semula itu nampak berbaloi selepas dirombak. Ruang tamu dan bilik tidur; dua ruang yang saling berbeza rupa dan konsep menjadi pilihan kami.
Dua pakar reka bentuk ditemui untuk mendapatkan pandangan cara terbaik menghias semula bilik tidur dan ruang tamu dalam tempoh seminggu. Mereka adalah Tengku Illya Tengku Sukry dari Norain Dé France dan Mohd Suhaimi Fadzir dari Discourse Team Sdn Bhd. Bagaimanapun, kedua-dua jurureka dalaman memberitahu tempoh seminggu sebenarnya tidak cukup untuk membuat kerja pengubahsuaian besar. Hanya cukup untuk menambah beberapa perhiasan. Apabila ditanya mengenai tempoh menghias yang sesuai, Suhaimi menjawab, “sekurang-kurangnya, dua minggu untuk hasil yang lebih baik.”
Katanya lagi, masalah ruang tidak cukup bukanlah perkara besar jika bijak mengadun ruang. Pun begitu menurutnya ramai yang menempatkan perabot berukuran besar di ruang kecil, “… macam mana nak muat kalau ukuran perabot melebihi daripada yang sepatutnya.”
“Selepas mengetahui kemahuan diri, barulah kita dapat menata hias dengan sempurna. Malangnya ramai yang suka menyimpan barang lama kerana sifat sayang hendak buang itulah menyebabkan tidak cukup ruang hendak menyimpannya. Kalau boleh disedekahkan, berilah kepada yang memerlukan. Itu lebih baik daripada membiarkan barangan lama digigit lipas atau tikus,” kata Suhaimi.
Menurut Tengku Illya , proses pembentukan ruang tamu dan bilik tidur hampir sama cuma kegiatannya sahaja yang membezakan gaya penataan. Beliau menegaskan bahawa tata hias ruang tamu perlu menunjukkan isyarat bahawa ia adalah ruang yang mesra tetamu.
“Namun ramai yang tidak sedar sesetengah penataan seolah-olah memberitahu penghuninya tidak sudi menerima tetamu,” kata Tengku Illya.
Tidak seperti ruang tamu, bilik tidur pula adalah ruang yang terlalu peribadi. Seharusnya ada sentuhan penghuni bilik tidur supaya lebih selesa semasa beradu. Atas alasan itulah, ramai yang tidak mengizinkan bilik tidur menjadi tayangan umum.
Apa pun, semuanya bergantung kepada kemampuan. Gaya hiasan yang cantik tidak terletak hanya pada harga yang mahal, asalkan praktikal dan teratur sudah memadai.
PROSES MENGHIAS RUANG TAMU.
- Hari pertama kosongkan ruang tamu bagi membolehkan anda mengecat dinding. Itupun jika anda ingin menukar warna sedia ada. Pilih warna yang harmoni dengan perabot supaya tidak timbul konflik. Tidak salah mencuba warna yang garang tetapi harus fikir kesan jangka panjang kerana mengecat semula memerlukan kos. Jika ada kerja pertukangan elok dibuat dahulu kerana kerja mengecat akan memakan masa yang lama.
- Hari kedua khusus untuk kerja mengecat. Pesan Tengku Illya, sentiasa mulakan kerja mengecat dari atas dahulu seterusnya menghala ke bawah. Kerja mengilat dan membersihkan lantai boleh dimula selepas habis mengecat. Biarkan cat kering selama dua hari.
- Hari kelima anda boleh menyusun sofa dan kabinet serta meja konsol jika ada. Susun sofa dengan meletakkannya di tengah dan bukannya dirapat ke dinding untuk membolehkan ruang nampak lebih luas. Pastikan kedudukan meja kopi di tempat sesuai bagi memudahkan tetamu mencapai cawan.
- Hari keenam masukkan hiasan tambahan seperti langsir, lukisan, perhiasan dinding dan sebagainya. Jangan lupa melapik ambal atau permaidani sebagai penyeri kemasan lantai.
- Hari ketujuh Anda boleh menghayati suasana ruang tamu baru.
PROSES MENGHIAS BILIK TIDUR
- Hari pertama keluarkan semua perabot dan bersihkan bilik. Kalau ada kerja pertukangan yang perlu dibuat, selesaikan dahulu. Kemudian, cat dinding jika anda mahu menukar warna bilik. Biarkan cat itu kering selama satu atau dua hari.
- Hari ketiga anda boleh membawa masuk perabot ke dalam bilik. Susun semula katil, almari pakaian dan meja solek dengan kedudukan yang berbeza daripada suasana sebelumnya. Pastikan kedudukan semua perabot ini tidak mengganggu pergerakan dalam bilik.
- Hari keempat mungkin anda ingin menyambung kerja semalam. Jika perlukan pencahayaan tambahan, tempatkan lampu tidur jenis lekap pada dinding atau di atas meja sisi.
- Hari kelima anda boleh memasang langsir dan meletak pelbagai perhiasan seperti lukisan, pasu bunga, bingkai gambar serta himpunan peribadi. Jangan lupa menghamparkan ambal atau permaidani yang pastinya mengundang seri dalam bilik tidur.
- Hari keenam, pastikan anda puas hati dengan kerja menghias semula suasana bilik tidur. Jika ada perhisasan yang ingin ditambah, dapatkan dari gedung yang mengamalkan konsep cash & carry.
- Hari ketujuh bolehlah beradu dalam bilik tidur berwajah serba baru.