Permulaan dan penghujung hari kita banyak berlangsung di ruang dapur… memetik ayat yang ditulis penulis laman web Kitchen & Bathroom – Arts & Crafts Home, Mark Golding. Menurutnya lagi, seseorang itu akan menghabiskan banyak masa di ruang dapur apabila semua anggota keluarga berkumpul di rumah.
Oleh itu, pembentukkan ruang dapur perlu sama-sama menarik sebagaimana anda menghias ruang tamu, selain memastikan setiap sudut ruang dapur dimanfaat dengan sebaik-baiknya. Dengan itu, sebagai tuan rumah, anda tidak lagi berasa malu jika secara tiba-tiba ada tetamu yang ingin meninjau ke ruang dapur.
Bagi membantu anda merancang susun atur yang sesuai untuk ruang dapur, pertamanya ambil ukuran keluasan ruang dapur dan lakarkan atas kertas dengan menyertakan sekali skala ukuran sebagai rujukan. Langkah kedua adalah membuat senarai susun atur kedudukan kelengkapan dapur berdasarkan ruang dapur sedia ada.
Seterusnya, berkunjunglah ke mana-mana ruang pameran kabinet dapur untuk mendapatkan gambaran reka bantuk kabinet yang dikehendaki. Anda juga boleh meminta nasihat daripada perunding reka bentuk dapur mengenai kabinet yang sesuai.
MENGUKUR RUANG DAPUR
Ambil ukuran milimeter (mm) kerana semua unit kabinet dapur diukur berdasarkan kiraan matrik. Ukuran setepat yang boleh supaya kabinet yang akan dibina nanti muat dengan keluasan dapur. Skala yang digunakan adalah 1:30, bermakna 10 mm ukuran di kertas bersamaan 30 mm di atas lantai atau dinding. Ukuran dapur perlu diambil secara menegak bermula dari lantai ke siling dan melintang. Ini kerana, anda juga perlu mengukur keluasan dan jarak di antara bakal kabinet siap dipasang dengan pintu serta tingkap yang ada di ruang dapur.
MERANGKA PELAN DAPUR
Terdapat tiga perkara asas yang wajib dirujuk sebagai panduan merangka pelan lantai ruang dapur iaitu ruang penyimpanan (A), ruang memasak dan penyediaan (B) serta ruang membasuh (C).
Pertamanya, pilih pelan lantai terbaik untuk ruang dapur anda. Di pasaran, terdapat lima pelan lantai asas reka bentuk ruang dapur yang boleh anda ikuti iaitu lurus, galley, L, U dan berpulau. (Rujuk gambarajah yang disertakan).
Dimulakan dengan ruang penyimpanan (A), selain almari atau kabinet siap dipasang, jangan lupa untuk memasukkan sekali peti sejuk dalam lakaran anda. Jika anda merancang pergerakan di ruang dapur kerap bermula dari unit penyimpanan seperti peti sejuk atau kabinet berpintu maka pastikan permukaan kerja dibina bersebelahannya. Selain menyimpan makanan kering dan basah, anda juga perlu mewujudkan ruang penyimpanan tambahan untuk menempatkan pinggan mangkuk serta peralatan memasak.
Beri perhatian yang lebih semasa mengatur tempat memasak atau dapur (B) dengan memastikan kedudukannya juga bersebelahan permukaan kerja. Kemalangan mudah berlaku jika kedudukan dapur jauh dari permukaan kerja. Begitu juga perbuatan memindahkan periuk panas dengan memusingkan badan. Perbuatan itu sebenarnya mengundang bahaya seandainya tidak menyedari kehadiran orang yang lalu lalang di bahagian belakang semasa mereka sedang berpusing. Justeru itu, cuba pusatkan semua kerja di satu bahagian sahaja dan bergerak mengikut aliran tiga segi kerana ia lebih selamat.
Seterusnya, rangkakan laluan mudah ke sink (C) di ruang dapur untuk membasuh bahan memasak mentah, periuk, belanga, pinggan mangkuk dan kutleri yang sudah diguna.
PANDUAN MERANCANG SUSUN ATUR KELENGKAPAN DAPUR
- Susun atur peralatan dapur dan pastikan tidak melebihi permukaan meja kerja serta ketinggiannya tidak mengganggu kabinet unit gantung.
- Pastikan pintu peti sejuk, tidak terhalang dan boleh dibuka lebar supaya mudah mengeluarkan dulangnya.
- Elakkan menyusun peralatan dapur berhampiran suis lampu supaya mudah menghidupkan suis pada waktu malam.
- Jangan sesekali letak ketuhar menghadap pintu bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
- Jangan rapatkan peti sejuk ke dinding, sebaik-baiknya wujudkan jarak di antara peti sejuk dan dinding sebanyak 10 cm.
- Permukaan kerja yang baik biasanya berkeluasan 300 mm. Atur kedudukannya bersebelahan dapur masak sebagai tempat meletak periuk panas.
- Jangan sesekali susun dapur bersebelahan sink, jika tidak ada pilihan lain, pastikan jarak di antara kedua-duanya sejauh 300 mm.
- Jangan tempatkan dapur berdekatan tingkap atau bersebelahan kabinet.
- Elakkan juga tempatkan dapur di bawah punca elektrik.
- Sentiasa pastikan anda memilih reka bentuk sink yang sesuai sebelum merancang pembeliannya kerana ukuran yang salah boleh menjejaskan reka bentuk kabinet siap dipasang.
- Unit sink paling kecil bersama satu pengetus lazimnya muat untuk kawasan seluas 500 mm.
- Kalau anda memilih untuk melengkapi kabinet siap dipasang dengan unit pembuangan sampah, pastikan model pilihan menepati ukuran kabinet kerana sesetengahnya dibina dengan dasar yang lebih lebar.
PANDUAN MEMILIH KABINET DAPUR
Dahulu, penghuni perlu menempah kabinet dapur daripada pengusaha kabinet. Tetapi kini, kabinet buatan kilang semakin banyak di pasaran. Ini bermakna anda mempunyai pilihan untuk membina kabinet dapur tempeh, separa tempeh atau buatan kilang bagi mengisi ruang dapur kediaman masing-masing.
SIAP DITEMPAH
Keistimewaan kabinet yang tempah ini terserlah pada mutu buatan yang terperinci, ketepatan ukuran dan boleh menyelitkan hiasan tambahan untuk memperindahkan rupanya. Istimewanya, ia boleh dibina mengikut apa jua ukuran ruang dapur tanpa perlu memasang bahan penyumbat untuk menutup ruang kosong. Malah,kabinet siap ditempah juga mengizinkan penghuni menambah unit baru. Anggaran kosya bergantung kepada bahan, ketelitian, jenis hiasan tambahan dan sejauh mana kerja tangan diperlukan dalam pembinaannya. Menukar kelengkapan kabinet seperti daripada bod papan serpai kepada papan lapis nampak mudah tetapi bersedialah mengeluarkan wang.
SEPARA TEMPAH
Kabinet separa tempah sebenarnya satu gabungan komponen kabinet dapur daripada berbilang pembuat. Maksudnya, kontraktor atau pengeluar kabinet tempatan mengupah syarikat lain membina rangka kabinet, pintu pula diberi kepada syarikat yang khusus membuat pintu, begitu juga laci dan sebagainya.
Kemudian kontraktor atau pengeluar kabinet tempatan akan memasangnya menjadi set lengkap kabinet dapur dan menyapu kemasan penyudah mengikut permintaan pelanggan masing-masing.
Kaedah ini sebenarnya meberi banyak manfaat kepada pelanggan kerana berpeluang memiliki ‘kabinet tempah’ dalam harga berpatutan. Tetapi satu kekurangannya ialah anda tidak dapat membuat pertambahan secara sesuka hati kerana barangannya terhad.
KABINET BUATAN KILANG
Kabinet kilang lazimnya mempunyai komponen suai padan kerana ia dihasilkan dengan banyak. Boleh didapati di serata tempat, dari syarikat kabinet dapur berprestij hinggalah ke pusat perniagaan peralatan rumah setempat. Harganya juga berbeza mengikut bahan dan ketebalan pintu kabinet, perhiasan tambahan yang digunakan, jumlah para-para serta ruang penyimpanan.
Kabinet buatan kilang lazimnya dipasang sendiri oleh penghuni. Berbeza dengan kabinet tempah dan separa tempah yang dipasang oleh pengusaha kabinet kerana kos pemasangannya termasuk di dalam harga pembelian.
BAHAN
Apa jua reka bentuk kabinet, bahan yang digunakan jangan dipandang remeh. Ketebalan dan mutu bahan mengukur jumlah kos. Hakikatnya, kabinet kayu padu harganya lebih mahal daripada papan lapis, bod gentian berkepadatan sederhana (mdf) dan juga papan serpai.
Lazimnya penghuni melihat kayu padu sebagai pilihan terbaik. Tetapi kebanyakan pengusaha kabinet berpendapat kayu padu sebenarnya tidak stabil kerana ia mudah berubah mengikut suhu dan kelembapan persekitarannya.
Kestabilan dimensi papan lapis, bod mdf dan papan serpai menyebabkan ia tidak mudah berubah mengikut cuaca, asalkan ia tidak dibasahi air. Bod mdf dan papan serpai mudah mengembang dan bercerai manakala papan lapis akan merekah selapis demi selapis. Bagi mengatasi masalah ini, bahan berkenaan akan dilitupi dengan lapisan yang dikenali sebagai melamin. Kekuatan mdf pula terletak pada gentian kayu berdamar yang di mampatkan.
Perbandingan yang ketara di antara papan lapis dan bod mdf menyebabkan ramai pengeluar kabinet siap dipasang memilih papan lapis kerana ia mudah dibentuk mengikut teknik kerja kayu biasa. Berbeza dengan mdf yang memerlukan teknik tertentu.
Bagi memudahkan anda mengenal pasti jenis bod mdf, bod berkepadatan tinggi (hdf) dan polyester, kami senaraikan sifatnya :
- Lamina bertekanan tinggi mengandungi beberapa mampatan lapisan damar dan bahan serpai. Bersifat tahan lama, tahan lasak dan mudah dibersihkan, bagaimanapun ia sukar dibaiki, jika daun pintunya tercalar teruk. Disebabkan ia sangat teguh dan tahan lasak, maka pintu berkemasan lamina ini bertekanan tinggi ini sering menjadi pilihan untuk menghasilkan kabinet siap dipasang yang mewah.
- Lamina bertekanan rendah juga dikenali sebagai melamin, selain tahan lasak, harganya juga tidak mahal. Biasanya ia digunakan sebagai kemasan di bahagian dalam kabinet dan permukaan para-para. Begitupun, ia tidak sesuai dijadikan pintu dan bingkai pintu.
- Polyester pula bersifat kukuh. Boleh didapati dalam beragam warna dengan permukaan berkilat atau kusan, bod papan serpai berlapik bahan sintetik padu ini lazimnya tampil dengan kemasan yang menawan.
PINTU DAN LACI
Pintu dan laci menyempurnakan rupa kabinet dapur, reka bentuk pintu dapat dibahagikan kepada tiga iaitu panel timbul, panel rata dan panel papak (slab).
Daun pintu kayu padu mahal harganya. Semakin mahal dan unik kayu yang digunakan maka semakin tinggilah harga dikenakan.
Begitupun, pintu kabinet daripada papan lapis dengan salutan venier kayu padu lazimnya dijual dengan harga berpatutan.
Pintu kayu kabinet bermutu rendah lazimnya disembur dengan damar, bagaimanapun keindahan itu tidak berkekalan kerana cepat pudar. Justeru itu, kebanyakan pengusaha kabinet memilih untuk menyembur pintu kabinet dengan bahan pemangkin yang boleh bertukar menjadi barnis.
Memilih laci yang baik adalah satu kemestian. Oleh kerana ia kerap dibuka tutup, maka laci kabinet sepatutnya teguh. Kini kebanyakan laci dihasilkan mengguna sistem gelongsor bermekanikal, sekali gus berat barang yang ditampungnya tidak lagi disokong oleh laci sebaliknya oleh sistem gelongsor itu sendiri.
Pemegang pintu dan laci juga semakin canggih reka bentuknya. Sama ada diperbuat daripada logam, kayu atau porselin, reka bentuk kabinet. Bagi kabinet siap dipasang bereka bentuk moden, sebaik-baiknya dilengkapi pemegang pintu daripada logam manakala kabinet bereka bentuk klasik atau tradisional menarik diperagakan bersama pemegang logam warna keemasan atau porselin.
RUANG PENYIMPANAN
Reka bentuk kabinet dapur siap pasang hari ini bukan lagi seperti 10 tahun yang lalu. Melihatkan ruang penyimpanan yang lebih bersistem, sesetengahnya dilengkapi sistem penyimpanan bijak bertujuan mewujudkan suasana ruang dapur yang lebih kemas. Khususnya untuk menyimpan pinggan mangkuk, botol, makanan kering, periuk belanga dan kutleri.
Kenal pasti barangan yang hendak disimpan di ruang dapur kemudian barulah tentukan jenis ruang penyimpanan yang bagaimana perlu diwujudkan dalam kabinet siap dipasang. Sebaik-baiknya berundinglah dengan pembuat kabinet dapur anda.