Biru Membantu bayi tidur
Hiasan bilik si kecil sedikit sebanyak mempengaruhi hubungan ibu bapa dengan anak. Beri keutamaan kepada aspek keselamatan dan mutu tatkala merancang hiasan bilik bayi sebelum memikirkan soal gaya dan harga. Satu lagi, tidak perlu meletakkan semua jenis peralatan dan kelengkapan di dalam bilik berkenaan, memadai dengan sebuah katil bayi, tempat menukar lampin (jika perlu), almari pakaian, meja sisi dan sofa untuk kemudahan anda menyusukan anak atau melepas lelah seketika selepas menidurkan anak. Menyediakan almari pakaian dan bangku panjang jenis siap dipasang adalah langkah menjimatkan kerana lebih tersusun dan tidak menggunakan banyak ruang serta boleh diguna sehingga anak besar. Di sini, saya memilih biru kerana warna itu dikatakan dapat membantu bayi tidur. – Aini Idris
10% coklat gelap – Perhiasan
30% biru langit – Almari pakaian dan perhiasan
60% biru lembut – Sebahagian dinding dan perhiasan
7 Fasa menata hias bilik bayi
- Menentukankedudukan bilik – aspek keselamatan dan keselesaan sangat penting. Pastikan bilik bayi dilengkapi bilik air atau setidak-tidaknya terletak berhampiran bilik air dan bilik anda. Pastikan juga bilik itu menerima pencahayaan dan peredaran udara yang baik dengan binaan tingkap mencukupi. Kalau memasang jeriji pada tingkap, pastikan ada bukaan supaya anda dan bayi tidak terperangkap di dalamnya jika berlaku kejadian tidak diingini. Selain itu, pastikan lantai bilik tidak licin dan sentiasa bersih serta kering.
- Memilik warna – putuskan dulu warna dinding sebelum memilih warna untuk bahan kemasan yang lain dan barangan hiasan. Pemilihan warna ini lazimnya dipilih mengikut jantina bayi. Yang paling digemari ialah merah jambu untuk perempuan dan biru untuk lelaki. Namun anda juga boleh menerapkan warna-warna terang dan segar yang lain seperti kuning, jingga, lavender serta firus. Memilih warna putih atau off-white untuk dinding adalah langkah bijak supaya anda boleh bermain dengan warna-warna lain menerusi kesaman dan perhiasan.
- Menentukan susun atur – lukis di atas kertas mengikut skala kedudukan barangan dan unsur hiasan dinding sebagai panduan. Cara ini dapat membantu anda membeli kelengkapan mengikut apa yang perlu diisi di dalam bilik air.
- Memilih kelengkapan – jangan ghairah melengkapi bilik dengan pelbagai peralatan sehingga tidak ada ruang untuk bergerak dan pilihlah perabot yang sesuai untuk bayi sehingga sekurang-kurangnya mereka mencapai usia kanak-kanak, bukannya mengikut ukuran orang dewasa. Pastikan kelengkapan yang dibeli selamat diguna dari segi ketahanan dan penggunaan bahan buaian.
- Memilik pencahayaan – selain menyediakan lampu siling, penggunaan lampu meja dan lampu keselamatan yang dipasang pada kaki dinding juga penting. Lampu siling diguna sewaktu melakukan kerja-kerja berat, termasuk saat anda bergurau dengan anak di dalam bilik. Lampu meja pula dipasang sewaktu hendak menidurkan bayi dan apabila bayi sudah tidur boleh dipasang lampu keselamatan supaya anda tidak bersusah payah mencari suis kalau anak terjaga waktu tengah malam.
- Menghias lantai – pilih hamparan yang sesuai untuk bayi, seelok-eloknya jenis tidak berbulu. Pastikan juga lantai bilik bayi sentiasa bersih dan selamat.
- Mengisi ruang – letak kelengkapan mengikut susun atur yang sudah dirancang pasang mentol, pasang langsir/bidai tingkap, sediakan hamparan, masukkan barangan bayi dan seterusnya serikan dengan perhiasan pilihan. Kalau suka, boleh juga menggantung tanda nama atau gambar watak tertentu pada pintu bilik.