Tidak ada yang lebih indah dalam kehidupan suami isteri melainkan apabila dikurniai cahaya mata. Kehadiran orang baru, lebih-lebih lagi kepada pasangan yang lama menanti, pastinya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Panduan beli kelengkapan
- Fikirlah mengenai keperluan jangka panjang. Jadi seelok-eloknya beli kelengakapan yang boleh diguna untuk tempoh lebih lama, tetapi jangan ketepikan ciri-ciri keselamatan. Misalnya katil bayi yang boleh diubah suai untuk kegunaan anak menjelang usianya dua tahun dan ke atas. Kita boleh dianggap membazir jika menyediakan barangan yang hanya boleh diguna tidak sampai setahun, melainkan dengan niat untuk diwariskan kepada anak berikutnya. Bagaimanapun, janganlah hendak berjimat smapai membeli pakaian bayi yang berganda ukurannya! Kalau pun terpaksa membeli barangan untuk kegunaan seketika, maka hadkan bilangannya. Utamakan yang perlu dahulu.
Nota: Bayi belum ada sebarang kehendak, oleh itu ibu bapa perlu memikirkan apa yang benar-benar sesuai dan perlu untuk mereka. Jangan beri alasan setiap barang yang dibei tentu disuka bayi kerana mereka tidak tahu apa-apa pun.
- Ibu bapa perlu tahu menimbangkan apa yang sesuai mengikut jantina bayi. Seorang anak perempuan dan lelaki yang normal tentunya memiliki sifat semula jadi mengikut jantina mereka. Oleh itu, sediakan barangan yang sesuai dengan pertumbuhan bayi lelaki dan perempuan. Misalnya, corak bunga-bungaan dan warna-warna lembut lebih sesuai untuk bayi perempuan manakala geometri untuk lelaki.
Nota: Anak lelaki yang diajar mengurus rumah seperti membasuh pinggan dan pakaian serta mengemas bilik sejak kecil akan membesar sebagai seorang yang bertanggungjawab dan bersedia memikul tugas isteri apabila waktu terdesak. Bagaimanapun kalau sejak lahir anak lelaki sudah disogok dengan barangan perempuan maka kemungkinan mereka berlagak mengikut jantina itu adalah besar.
- Dalam melengkapi dan menghias bilik anak, katil adalah perabot utama. Bakul bayi lazimnya untuk kegunaan sementara waktu sahaja, iaitu sebelum usia bayi mencecah lima bulan. Bakul bayi juga biasanya diguna takkala membawa bayi bersiar-siar atau kemudahan mengangkatnya dari kereta ke dalam rumah tanpa menggangu tidur mereka. Hakikatnya, bayi lebih selesa berada di dalam dukungan manusia daripada dakapan span lembut yang mengelilingi bakul. Katil berkandang adalah yang terbaik dan paling selamat untuk bayi sehingga menjelang usia setahun apabila mereka mula beralih ke katil berpengadang.
Nota: Seelok-eloknya beli katil yang boleh diubah suai menjadi tempat bermain jadi anda tidak perlu membeli kelengkapan itu secara berasingan yang boleh menyemakkan ruang.
- Sewaktu memilih bahan kemasan fabrik, pertimbangkan jenisnya. Dicadangkan supaya anda menggunakan fabric kapas atau silk chenille kerana sejuk, lembut dan tidak gatal. Keputusan menetapkan tema hiasan terlebih dahulu didapati kurang pratikal kerana selalunya akan berakhir dengan belanja yang lebih mahal, bahkan mengehadkan pilihan barangan dan kreativiti menghias.
Nota: Penetapan tema tertentu, misalnya yang berdasarkan watak kartun, boleh menjerat anda apabila melihat suasana dan gaya sama setiap hari sedangkan keperluan melihat warna, corak serta bentuk yang berbeza sangat penting bagi tumbesaran bayi.
- Sewaktu memilik fabrik juga, selaraskan warna dan coraknya bagi set cadar. Kalau menyediakan bilik khas untuk bayi, warna dan corak fabric langsir juga biarlah sepadan dengan set cadar bayi supaya nampak harmoni.
Nota: Digalakkan memilik warna-warna lembut dan terang yang boleh membantu merangsang minda bayi. Begitu juga dengan pilihan corak fabrik biarlah yang menampakkan kesegaran dan kegirangan.
- Untuk mengelak berbelanja lebih, senaraikan barang yang hendak dibeli dan beri tumpuan kepada pembelian barangan itu sahaja. Bagaimanapun, ini bukan bermakna anda tidak boleh melayan keinginan untuk mencantikkan lagi bilik bayi dengan perhiasan tambahan seperti gambar berbingkai, motif huruf atau watak kartun dan lukisan dinding. Pastikan barang yang dibeli membantu pertumbuhan mental anak dengan memastikan perabot dan permainan mereka ada kesan visual dan berwarna-warni untuk meningkatkan stimulasi mental serta tidak berbahaya.
Nota: Anda boleh menghimpun aneka barangan mainan dan hiasan di dalam bilik bayi, namun yang penting ialah memastikan bilik bayi sentiasa kemas dan bersih serta terang dan berudara. Jangan disebabkan terlalu ghairah menghias sehingga melemaskan pandangan bayi. Atau paling merugikan ialah apabila bilik bayi yang dihias cantik hanya sekadar pameran sedangkan bayi tidak sehari pun tidur atau bermain di dalam biliknya.