Kedesaan Inggeris

Setiap gaya hiasan mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemilihannya banyak bergantung kepada latar diri anda dan pengaruh sekeliling walaupun tidak semestinya gaya moden hanya untuk mereka yang ranggi atau gaya tradisional untuk mereka yang konservatif. Demikianlah dengan gaya kedesaan Inggeris, yang mungkin tidak ramai meminatinya tetapi kekal membara.

 

Persona gaya kedesaan Inggeris sentiasa menggamit perhatian. Meninjaunya dan luar cermin kedai sahaja sudah cukup menggoda. Lembut warnanya mendamaikan jiwa. Indah coraknya – mawar, kotak, jalur atau polos – menyenangkan mata. Reka bentuk perabotnya pula memiliki potongan tersendiri yang ringkas, namun tetap cantik menghiasi kamar. Biggie Best adalah antara kedai hiasan dalaman yang terkenal dengan rangkaian produk bagi gaya kedesaan Inggeris.

 

Sebelum memilih sentuhan kedesaan Inggeris untuk menghiasi ruang dalaman rumah, tanya diri sendiri dulu dan jawab sejujurnya sama ada anda memang seorang yang benar-benar menyukai gaya ini atau terpengaruh dengan ajakan kawan. Tanya juga sama ada memadai kah sekadar mempamerkan hiasan bergaya lusuh atau menggantung lingkaran bunga pada daun pintu ataupun menggunakan sofa dan kemasan bermotif cetakan bunga?

 

Jika sudah membulatkan tekad yang gaya kedesaan Inggeris adalah pilihan anda, maka eloklah diketahui empat perkara penting yang membentuk gaya ini, iaitu :

 

  • Warna – gaya kedesaan Inggeris memilih palet warna gelap dan lembut yang tidak mungkin terdapat di rumah bercita rasa moden. Lantainya berwarna gelap, sama ada perang atau merah manakala dinding berwarna lembut atau neutral. Di Britain, pilihan warna musim sejuk adalah pilihan tepat untuk mendapatkan gaya kedesaan Inggeris yang sempurna. Anda boleh merujuk kedai cat atay bertemu pakar, misalnya dari Nippon, Jotun dan Seamaster.
  • Dinding – tidak pernah dibiarkan kosong, sekurang-kurangnya dicat. Anda juga boleh menggunakan kemasan kertas dinding, namun coraknya mesti berjalur atau berbunga.
  • Kelengkapan – kayu paling banyak digunakan, diikuti logan dan bahan kemasan daripada fabrik atau kulit. Apa juga jenis bahan yang digunakan, pastikannya tahan lasak dan mempersembahkan penampilan yang ‘hidup’. Sofa chesterfield misalnya, memperlihatkan keunggulan dan keanggunan. Kalau di Britain kehadiran perdiangan (fire place) dan rak buku menambahkan lagi keteguhan gaya maka di sini anda boleh menyediakan meja konsol sebagai ganti. Lampu meja atau lampu lantai yang berterendak fabrik adalah satu lagi kelengkapan mesti ada.
  • Perhiasan – satu perkara yang kediaman bergaya kedesaan Inggeris tidak dapat dilabelkan ialah minimalis. Mereka yang menyerapkan gaya ini di kediaman masing-masing harus bersedia untuk menyemarakkan rumah dengan aneka perhiasan sehingga ada kalanya kelihatan sungguh sara, lebih-lebih lagi bagi rumah berkeluasan adalah kunci utama. Jika kediaman anda penuh dengan barangan hiasan sehingga anda sendiri takut hendak berjalan di celah-celah susun atur rumah, maka itu menunjukkan anda sudah keterlaluan! Gamabr berbingkai misalnya, tidak dibiarkan polos sebaliknya akan dihias dengan iakatan reben. Gantung atau letaklah sebanyak mana gambar yang anda mahu.

 

Ciri Penting Yang Lain

  • Guna pelbagai jenis fabrik untuk menambahkan tekstur di dalam ruang dan letak kusyen hiasan. Jangan lupa menghamparkan permaidani, seelok-eloknya yang polos.
  • Pemasangan langsir potongan bidai atau lurus menggunakan fabrik corak bunga dan mewah.
  • Bina perdiangan reka bentuk tradisional untuk mendapatkan gaya sebenar kedesaan Inggeris. Bagaimanapun binaan itu tidak relevan di rumah kita kecuali bagi rumah rehat yang terletal di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Oleh itu, gantikan perdiangan dengan meja konsol.
  • Tutup meja kopi dengan alas yang mencecah hingga ke lantai dan hiaskan dengan perhiasan pilihan atau jambangan bunga.
  • Cari satu dua perabot antik untuk menambahkan nilai estetika.

 

Published
Categorized as Umum

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *